Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakai logo Hamas, Briged al-Qassam boleh dipenjara di Singapura
Diterbitkan:  Nov 8, 2023 12:03 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura memberi amaran bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk memakai atau menayangkan secara umum logo Hamas atau Briged Al-Qassam.

MHA dalam amarannya menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda, penjara atau dinafikan memasuki republik itu.

Bangunan Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura

Dalam satu kenyataan Isnin lalu, kementerian itu berkata, paparan awam lambang negara asing tanpa permit menjadi satu kesalahan di bawah Akta Logo Kebangsaan Asing (Kawalan dan Paparan) 1949. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga SG$500, dipenjarakan sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Konflik Israel-Hamas yang berterusan adalah isu emotif. Kami ingin menasihatkan daripada menayangkan secara umum dan penggunaan barangan berkaitan konflik itu, memandangkan sensitiviti yang semakin meningkat.

"Semua pengembara yang melalui pusat pemeriksaan kami juga dinasihatkan supaya tidak mempamerkan atau memakai barangan sedemikian. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang enggan mematuhinya, termasuk menafikan kemasukan mereka ke Singapura," kata kementerian itu.

Menurut MHA, bahawa langkah-langkah mesti diambil untuk memastikan keamanan dan keharmonian di Singapura.

Bagi yang mahu membantu mangsa konflik itu, MHA berkata mereka boleh menyumbang kepada pihak yang diamanahkan mengutip sumbangan dana atau derma bagi tujuan bantuan kemanusiaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS