Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Individu cadangkan Najib-Muhyiddin bergabung buta sejarah'
Diterbitkan:  Nov 8, 2023 11:19 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyifatkan cadangan supaya bekas presiden Umno, Najib Razak dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bergabung semula bagi kononnya menjadikan Malaysia lebih hebat sebagai cadangan syok sendiri.

Justeru, katanya, individu yang mencadangkan perkara itu adalah buta sejarah dan tidak perlu dilayan.

Mohd Puad Zarkashi

"Ada cadangan Najib dan Muhyiddin bergabung. Kononnya Malaysia tambah hebat. Tanyalah Muhyiddin. Mahukah dia.

"Individu yang mencadangkan itu buta sejarah. Najib pernah sokong Muhyiddin jadi perdana menteri kelapan namun dia `tikam belakang'.

"Muhyiddin juga tolak sertai kerajaan perpaduan. Dia mahu tebuk atap, maka macam mana mahu wujud Malaysia lebih hebat," katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Sabtu lalu, penyokong Najib atau dikenali sebagai ‘Bossku’ meletakkan harapan agar kedua-dua bekas perdana menteri itu membuka lembaran baru, dan bergerak bersama demi negara serta rakyat.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, Malaysia akan lebih hebat jika dua bekas pemimpin nombor satu negara itu, bersatu ketika rakyat sedang berdepan masalah ekonomi dan kos sara hidup.

Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz

Dia menyuarakan hasrat itu selepas Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendoakan kesembuhan Najib yang ketika itu sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat Covid-19, minggu lalu.

"Negara akan menjadi lebih hebat jika dua figura ini bergabung.

“Saya yakin harga bahan keperluan asas akan naik lebih tinggi apabila minyak diesel ditarik subsidi dan cukai perkhidmatan (SST) naik 8 peratus,” katanya kepada media.

Mengulas lanjut, Puad berkata, cadangan Syed Muhammad Imran yang mendakwa akan mengumpul 30,000 orang untuk menyokong Najib juga hanyalah syok sendiri.

"Dia dakwa akan kumpul 30,000 orang sokong Najib. 10,000 orang pun tak sampai. Kaki syok sendiri, tak payah layanlah," katanya.

Puad mengingatkan bahawa Umno dan dan Bersatu sebenarnya bersaing untuk kumpulan sasar yang sama.

“Sebab itu Bersatu kena bunuh Umno untuk hidup. Mudah berkawan dengan PKR kerana kumpulan sasar mereka berbeza.” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS