Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes cikgu ponteng: Saksi dakwa terpaksa ajar silibus 2 tahun dalam 10 bulan

Mahkamah hari ini mendengar bahawa tindakan seorang guru yang didakwa ponteng kelas selama tujuh bulan, bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar.

Hasanah Kassim, seorang guru di SMK Taun Gusi, berkata dia terpaksa mengajar silibus dua tahun dalam masa 10 bulan akibat Jainal Jamran tidak masuk kelas selama tujuh bulan pada 2015.

"Kerana pelajar yang saya terima dari Tingkatan 4 naik ke Tingkatan 5 tidak mempunyai langsung buku latihan dan saya terpaksa cover (ajar) silibus dua tahun tidak sampai pun 10 bulan sahaja", jelas Hasanah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Sabah hari ini.

Hasanah adalah saksi plaintif ke-11 dalam kes saman bekas pelajar SMK Taun Gusi, Siti Nafirah Siman, terhadap Jainal atas tuduhan ponteng kelas.

Ketika disoal peguam plaintif, Hasanah turut menyatakan bahawa dia ada membuat laporan secara lisan kepada Ketua Panitia Bahasa Inggeris sekolah itu, Norhana Idek berhubung kegagalan Jainal masuk ke kelas.

Tambahnya, ketika kes ini menjadi tular pada tahun 2019, Norhana telah meminjam buku Rancangan Pengajaran Harian (RPH) miliknya atas alasan ada rakan sekerja iaitu Jainal yang gagal melengkapkan RPH.

Ketika mengulas tentang perwatakan Jainal, Hasanah kata guru itu seorang yang ceria.

Namun, dia berkata pernah berlaku salah faham antara mereka sebanyak tiga kali atas sebab yang dia tidak tahu, yang mengundang kemarahan Jainal.

"Antara perkara yang dia pernah lakukan ialah menghempas buku di meja, menghempas pintu, mengherdik di khalayak ramai contohnya di tempat letak kereta, kantin dan yang terakhir saya rasa jatuh motivasi saya adalah dia meludah dan bila perkara terakhir itu dia lakukan saya maklumkan kepada suami saya", jelas Hasanah.

Walau bagaimanapun, Hasanah berkata Jainal pernah meminta maaf dengannya selepas kes saman difailkan Siti Nafirah Siman menjadi tular.

Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi pada 2015.

Pada 30 Okt 2018, dia memfailkan saman terhadap gurunya Jainal kerana dikatakan ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015

Selain Jainal, dia juga menamakan pengetua sekolah ketika kes itu berlaku, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dia mendakwa kegagalan Jainal untuk hadir mengajar Bahasa Inggeris di kelas, serta defendan kedua untuk mengambil langkah munasabah bagi mengatasi perkara itu, mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan 1996.

Perbicaraan kes dihadapan hakim Ismail Brahim akan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS