Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak mati dalam tahanan: Ibu tuntut siasatan kes bunuh
Diterbitkan:  Nov 7, 2023 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia ketika ditahan di balai polis Sungai Besar di Selangor bulan lalu menggesa kejadian itu disiasat sebagai kes bunuh.

Allahyarham Mohd Nahar Kamsah, 49, ditahan atas dakwaan kesalahan dadah pada petang 26 Okt lepas dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Ibunya Saliah Samad hari ini menuntut jawapan mengenai keadaan yang menyebabkan kematian anaknya.

“Dia (Nahar) tidak sihat dan kerap muntah sebelum ditahan polis di rumah.

Siasatan makmal belum selesai

"Mereka menangkapnya, dan kami tidak mendengar maklumat terkini tentang keberadaannya sehingga keesokan paginya," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata pihak keluarga hanya mengetahui mengenai kematian Nahar selepas dimaklumkan oleh anggota polis dari balai polis Sungai Besar kira-kira jam 6.50 pagi, pada 27 Okt lepas.

Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sungai Buloh tetapi keputusannya tidak dapat disimpulkan kerana ia disenaraikan sebagai "penyiasatan makmal yang belum selesai".

Bagaimanapun, saudara mara yang mengurus jenazah si mati untuk pengkebumian mendakwa melihat kesan lebam dan kecederaan pada badan Nahar.

Mereka membuat laporan polis pada 31 Okt, menggesa kematian Nahar disiasat sebagai kes bunuh.

Polis sebelum ini berkata tiada kecederaan jenayah dikesan dalam kematian Nahar.

Pengarah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad berkata arwah ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam lokap dan pasukan perubatan segera dihubungi untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Nahar disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang merawat.

Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Bagi Saliah pula, dia berkata pihak keluarga hanya mahukan jawapan terhadap punca kematian anaknya itu.

"Kami mahukan jawapan yang munasabah tentang apa yang sebenarnya berlaku.

"Bagi tahu kami hal yang sebenar, kami tidak mahu perkara ini berlarutan lagi," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS