DAP memberikan tempoh 48 jam kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, membuktikan dakwaan dia mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata demikian selepas tular rakaman video ucapan Mastura dalam program PAS di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini, yang menuduh Guan Eng dan bapanya Kit Siang mempunyai hubungan sepupu dengan Chin Peng dan Lee.
Mastura juga mendakwa Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok dan ex officio Ngeh Koo Ham.
“Jelas ia bukan saja satu serangan peribadi tetapi ia berbaur perkauman dan hasad dengki terhadap pihak kami khususnya kepada saya dan ayah saya sungguhpun sudah bersara masih menjadi sasaran oleh ahli parlimen PAS,” katanya.
Guan Eng bagaimanapun tidak mendedahkan tindakan lanjutnya selepas tempoh diberikannya.
Dalam sidang media di parlimen, Guan Eng bagaimanapun berkata dakwaan itu tidak benar dan menyifatkannya sebagai permainan politik ekstremisme perkauman dan fitnah PAS yang tidak berasas.
Katanya, tiada pemimpin DAP mempunyai kaitan dengan Chin Peng atau Kuan Yew dan malah bukan satu keluarga.
“Malah, surname pun lain.
“Kalau anda sebagai rakyat Malaysia tak tahu surname, tak ada hubungan keluarga memang seperti katak di bawah tempurang.
“Saya rasa dia tahu apa yang dia ucap, harap dia boleh tunjukkan bukti, kita tunggu, kalau selepas Khamis ini tak ada apa-apa bukti ditunjukkan tentang hubungan keluarga, kita akan ambil tindakan seterusnya,” tegasnya.
Tambah Lim, pihaknya turut berharap agar pihak berkuasa tidak memandang ringan mengenai perkara itu.
“Kali ini saya rasa pihak berkuasa tak boleh ambil ringan tentang perkara ini, ia amat serius sekali boleh pecah belahkan rakyat, boleh timbulkan kegusaran di kalangan masyarakat. Semua pun tak betul, tak ada satu pun hubungan keluarga.
“Janganlah kita teruskan politik kotor dan jijik. Kita sepatutnya berdasarkan fakta dan bukan fitnah jahat sedemikian,” katanya yang juga ahli Parlimen Bagan.
Dakwaan mengenai hubungan antara pemimpin DAP dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew itu bukan kali pertama berlaku.
Malah pada 2017, Kit Siang sudah menafikan perkara itu selepas dikaitkan hubungan kekeluargaan dengan tokoh-tokoh berkenaan.
Kit Siang enam tahun lalu menjelaskan Chin Peng atau Ong Boon berketurunan Hockchia, Lee berketurunan Hakka dan dia pula seorang Hokkien.