Paling Popular
Terkini
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan setiausaha politik Anwar.

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi ini menyelar tindakan Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya kerana mendakwa Putrajaya bersikap apologetik dalam pendirian terhadap perjuangan Palestin.

Menggelar Ahmad sebagai biadab, Anwar menegaskan bahawa kerajaan sentiasa tidak berbelah bahagi atau teragak-agak dalam memberikan sokongan kepada Palestin.

Hal itu katanya, bertentangan dengan dakwaan Ahmad - yang juga ahli parlimen Pokok Sena) - seperti yang disiarkan lidah rasmi PAS, harakahdaily, semalam (bawah).

Petikan laporan Harakahdaily yang dipertikai Anwar

Artikel itu disiarkan bersama gambar Anwar dengan imej bendera Israel diletakkan di belakangnya.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati gambar itu telah ditukar.

Kini hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.

“(Seluruh dunia) tahu Malaysia bersatu menyokong perjuangan Palestin.

“Kami juga mengadakan mesyuarat setiap hari mengenai isu Palestin, kami meminta OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Rusia, dan China (untuk membantu).

"Tetapi (Ahmad) boleh saja membuat kenyataan biadab dan kurang ajar," kata Anwar semasa sesi soal jawab perdana menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Ahli parlimen Tambun itu juga menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil "tindakan tegas" terhadap sesiapa sahaja yang mengulangi tuduhan sedemikian.

Lain-lain boleh terima

"Dengar baik-baik apa yang saya akan katakan. Supaya ketua ulama (PAS) tidak menggunakan Harakah untuk mengaitkan saya dengan Israel lagi.

"Itu adalah kenyataan yang biadab, yang melanggar tatasusila, fitnah yang menggunakan serban dan saya bantah sekeras-kerasnya.

"Kalau diulang lagi saya akan ambil tindakan keras," katanya.

Ahmad kemudian bangun untuk memberi penjelasan terhadap kenyataan Anwar.

Kata Ahmad laporan potral rasmi PAS itu bukan bersifat tuduhan kerana ada tanda soal di akhir tajuknya.

"Itu (kenyataan dan laporan yang diterbitkan) adalah satu persoalan, bukan tuduhan," katanya yang turut berterima kasih kepada perdana menteri kerana membaca Harakah.

Ahmad turut menjelaskan ia adalah sama saja dengan persoalan lain yang dibangkitkan dan dijawab Anwar.

Anwar kemudian memberitahu dia marah kerana gambar yang digunakan dalam laporan tersebut turut memaparkan bendera Israel sebagai latar belakang.

"Tak apa nak marah saya, nak kritik saya... itu saya terima dengan baik.

"Tapi ini (laporan disiarkan) jangan!" katanya.

Dalam artikel berkenaan Ahmad mendakwa kerajaan bersikap apologetik dalam isu Palestin selepas diasak oleh pihak tertentu dan parti dalam kerajaan.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa kerajaan mula mengubah nadanya dalam isu Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel serta Barat.

PAS tak dapat terima hakikat, kata pegawai Anwar

Sementera itu, Setiausaha Politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata PAS tidak dapat menerima hakikatnya Anwar semakin ke hadapan dalam menangani konflik Palestin.

"Isu Palestin yang sepatutnya didukung bersama, terus menerus digunakan sebagai alat politik untuk mencipta persepsi negatif. 

"Semakin kuat PMX bersuara dan bertindak, semakin kuat beliau ditekan kerana sukar bagi mereka menerima bahawa barangkali apa yang sedang diusahakan dalam isu ini gagal dilaksanakan oleh mantan duta khas timur tengah. Langsung tenggelam.

"Paksinya adalah kebencian; mana mungkin seorang ‘kafir’ menurut kaca mata politik sebahagian mereka dilihat ke hadapan dalam hal ini," katanya menerusi ciapan di X.

Muhammad Kamil Abdul Munim dan Hadi

Walaupun, tidak menyebut nama, difahamkan Kamil merujuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai mantan duta khas ke Timur Tengah.

Hadi dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah pada 2 Apr 2020 oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan ketika itu "menegaskan ia bukan lantikan politik," sebaliknya dibuat bersandarkan kepada ketokohan dan kepimpinannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS