Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Kenapa gerakan liberal Malaysia bakal gagal?

KOMENTAR | Apabila Pakatan Harapan (PH) menang pada 2018, golongan liberal meraikan “kemenangan” itu. Hegemoni Barisan Nasional telah dipecahkan selepas enam dekad berkuasa sebagai kerajaan persekutuan.

Tetapi realitinya kemenangan PH pada PRU ke-14 adalah secara kebetulan; semua faktor sampingan seperti skandal 1MDB, pengaruh Dr Mahathir Mohamad, peningkatan kos sara hidup susulan pelaksanaan GST dan lain-lain–menjadikan sentimen politik subur untuk menewaskan mantan perdana menteri Najib Razak vis-a-vis Barisan Nasional.

Perikatan ini berkecai apabila parti Bersatu keluar daripada PH dengan insiden “Langkah Sheraton”, hampir dua tahun selepas tertubuhnya kerajaan PH 1.0.

Pada PRU15 tahun lepas pula, PH “menang” sekali lagi tapi hanya dengan pertolongan Barisan Nasional, yang dulunya dianggap musuh eksistensial mereka. Sekali lagi, mereka menubuhkan sebuah perikatan dalam bentuk kerajaan perpaduan.

Di sebalik tirai politik nasional ini, kumpulan berhaluan kanan sudah lama bergerak sebelum 2018.

Siapakah yang dimaksudkan dengan gerakan berhaluan kanan di Malaysia pasca PRU-14 ini?

Gerakan ini terdiri daripada parti politik, NGO dan pertubuhan seperti Parti PAS, Pembela, dan rangkaian longgar dalam kalangan mereka.

Gerakan berhaluan kanan ini mendokong ideologi konservatif yang memperjuangkan ideologi ethno-nasionalis.

Dalam konteks Malaysia, ini bermaksud penekanan dasar sosiobudaya dan politik yang mengutamakan hegemoni Melayu-Islam pada setiap lapisan masyarakat biarpun di ruangan awam ataupun peribadi.

Di mana sebelum ini operasi dan ideologi mereka lebih terselindung, kemenangan PH mencetuskan isyarat yang ancaman eksistensial kepada agama dan bangsa kemungkinan menjadi realiti.

Sebahagian kajian saya dan beberapa rakan penyelidik dalam memahami gerakan berhaluan kanan di Malaysia, kami mendapati bahawa infrastruktur dan kesungguhan gerakan ini adalah sangat menyeluruh.

Kempen anti-ICERD pada 2018 merupakan projek pertama untuk menghimpunkan gerakan berhaluan kanan.

Gambar fail, demonstrasi anti-Icerd.

Pada tahun berikutnya, kempen Buy Muslim First (BMF) yang menyeru solidariti ekonomi Muslim-Melayu pula dibesar-besarkan.

Dalam kedua-dua isu ini, ahli politik, terutamanya yang beragama Islam, ditekan untuk membuktikan komitmen mereka untuk berjuang demi agama dan bangsa, dan mengutamakan kepentingan Islam-Melayu.

Polarisasi yang kita sedang lihat sekarang adalah hasil kerja perkakas gerakan berhaluan kanan.

Biarpun dengan kempen isu 3R tanpa henti di media sosial – terutamanya pada musim pilihan raya, memviralkan kandungan yang mengapi-apikan sentimen kebencian, ataupun cabaran berterusan terhadap sempadan perlembagaan – ini membuktikan komitmen luar biasa gerakan berhaluan kanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gambar hiasan.

Sebaliknya, ahli-ahli gerakan berhaluan kanan ini sanggup memerahkan masa dan tenaga untuk merealisasikan dan mengarusperdanakan ideologi mereka.

Mereka sanggup membiayai operasi mereka dengan duit mereka sendiri.

Ini membawa saya kepada hujah utama saya: gerakan liberal bakal kalah dalam peperangan ideologi di Malaysia.

Sebabnya, kerana mereka tidak sanggup melawan dengan komitmen yang sama seperti gerakan berhaluan kanan.

Kelemahan gerakan liberal

Saya tidak merujuk kepada individu (biasanya daripada golongan peguam ataupun aktivis) ataupun NGO-NGO yang berlandaskan keadilan sosial.

Saya merujuk khususnya kepada ketiadaan perikatan liberal untuk menguruskan strategi jangka masa panjang untuk mengarusperdanakan ideologi mereka.

Hakikatnya adalah yang gerakan liberal, sebuah golongan minoriti – adalah biasannya dari kawasan urban dan berlatar-belakang kelas M40 atau T20.

Gambar hiasan.

Nilai dan ideologi mereka yang liberal-progresif biasanya mendapat penentangan kuat daripada kedua-dua pihak kerajaan dan masyarakat.

Tidak boleh dinafikan juga bahawa landskap sosiopolitik dan proses Islamisasi berdekad di Malaysia telah menyuburkan persekitaran bagi ideologi konservatif untuk membiak.

Bagaimanapun, ideologi berhaluan kanan masih tidak senang diterima oleh masyarakat awam kerana ia boleh dianggap ekstrem dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Tetapi sekurang-kurangnya gerakan berhaluan kanan, walaupun ada kekangan ini, masih berusaha.

Gambar hiasan.

Masalah golongan liberal adalah yang mereka tidak hendak berusaha untuk mengarusperdanakan ideologi mereka.

Berapa banyak media ataupun ruang kandungan yang dibiayai dan beroperasi untuk mengarusperdanakan ideologi liberal dan progresif?

Sangat kurang kalau berbanding dengan gerakan berhaluan kanan.

Kelemahan untuk tidak mengarusperdanakan ideologi mereka mungkin berpunca dari hakikat bahawa gerakan liberal di Malaysia tidak bersepakat dari segi pendirian.

Terutamanya kerana wacana liberal dilakukan dalam Bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Kita boleh lihat di mana ada perpecahan di kalangan gerakan liberal berkenaan persoalan asas; apakah visi atau imaginasi mereka untuk Malaysia?

Ideologi di kalangan golongan liberal biasanya salinan bulat-bulat dari Barat, tetapi tidak berlandaskan konteks masyarakat, politik dan sosiobudaya Malaysia.

Proses ini memerlukan wacana yang mendalam pada setiap lapisan masyarakat – sesuatu yang tidak diusahakan oleh gerakan liberal.

Mereka hanya berharap kepada ideal kabur di mana mereka hendak negara yang berlandaskan keadilan, kesaksamaan dan lain-lain.

Tetapi bagaimanakah nilai-nilai tersebut mampu dizahirkan di dalam konteks negara Malaysia, dengan adanya Perlembagaan Persekutuan, sejarah hubungan etnik-agama yang kompleks, struktur masyarakat yang terikat dengan kontrak sosial?

Kita tidak boleh hanya “salin-tampal” dari Barat dan harapkan perubahan tanpa wacana.

Masalah golongan liberal juga adalah penetapan individualistik mereka yang mengalir kepada komitmen mereka untuk berkorban demi perjuangan mereka.

Penetapan inilah yang menzahirkan sikap pengalihan tanggungjawab sivik yang sepatutnya tanggungjawab bersama–kepada individu atau kumpulan yang tertentu, biasanya aktivis dan NGO, untuk berjuang bagi pihak mereka.

Kebanyakan di kalangan masyarakat yang bergelar diri sebagai liberal lebih terdorong untuk merungut sesama sendiri ataupun di media sosial daripada turun padang dan berusaha untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi melainkan tanggungjawab mereka untuk undi setiap pilihan raya.

Sebaliknya, sebagai contoh, gerakan berhaluan kanan, sedang berusaha untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular.

Mereka bersungguh-sungguh menghabiskan tenaga, masa dan duit untuk menguji kebatasan sistem perundangan dan perlembagaan Malaysia.

Ini adalah usaha sistematik yang boleh dilihat sebagai gerakan menyeluruh daripada kumpulan sivil berhaluan kanan. Daripada kempen awam sehinggalah hujah mereka di mahkamah.

Siapakah yang sepadan dengan mereka dalam kalangan gerakan liberal?

Keperluan untuk pendekatan strategik

Bagaimana boleh gerakan liberal mempengaruhi khalayak ramai dan meyakinkan masyarakat bahawa adanya alternatif lebih baik bagi masa depan dan idealisme kenegaraan untuk Malaysia?

Gerakan liberal mesti berusaha untuk menggerakkan komuniti mereka untuk melobi dan mempengaruhi di setiap tahap di landskap sosio-politik.

Ini memerlukan mereka untuk menubuhkan perikatan bagi merancang strategi jangka masa panjang dan membentuk sebuah ideal yang jelas dan menyampaikan visi ini kepada masyarakat.

Mereka juga perlu mengarusperdanakan pendirian dan visi mereka melalui wacana.

Jika kita melihat kepada gerakan berhaluan kanan sebagai contoh, ini dilaksanakan melalui penubuhan portal berita, pembukaan akaun media sosial untuk tujuan perkongisian maklumat dan mendirikan rangkaian penyebaran maklumat.

Ini juga termasuk kerjasama bersama media arus perdana yang berkongsi pendirian yang sama.

Infrastruktur penyebaran ideologi dan pengukuhan wacana merupakan dasar yang penting bagi mengarusperdanakan visi mereka di tahap masyarakat awam dan wacana politik.

Gerakan konservatif dan berhaluan kanan sudah lama mengendalikan strategi ini untuk bertahun-tahun, biasanya dengan menggunakan sumber dana, infrastruktur dan rangkaian mereka tersendiri.

Kebanyakan kumpulan berhaluan kanan biasanya memohon sumbangan daripada orang ramai dan menekankan bahawa infaq ini adalah demi perjuangan agama dan bangsa.

Golongan liberal yang boleh dianggap lebih kaya dan ada sumber dan akses sosioekonomi yang lebih luas – di mana usaha yang sama?

Akhirnya, jika Malaysia meluncur ke ideologi berhaluan kanan dan konservatif, ia bukan kerana gerakan berhaluan kanan lebih kuat – tetapi kerana gerakan liberal tidak cukup berusaha untuk berjuang.

Kesilapan mereka adalah mengganggap “kemenangan” PH pada 2018 garis tamat dalam perjuangan mereka.

Inilah kenapa gerakan liberal akan bakal gagal peperangan ideologi di Malaysia. Tunggu masa sahaja. Kalau tidak pada PRU yang akan datang, mungkin pada masa depan yang menjalar.


AZIFF AZUDDIN ialah penyelidik dan penganalisis data yang mengkhusus dalam bidang politik dan sosiologi urban.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS