Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shabery Cheek, tokoh agama dalam senarai calon BN Kemaman

Nama Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek serta seorang tokoh agama di Terengganu adalah antara dalam senarai utama untuk diketengahkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Menurut sumber BN, kedudukan Ahmad Shabery yang pernah menjadi ahli Parlimen kawasan itu menjadi kekuatan kepada BN untuk merampas kerusi berkenaan.

Ahmad Shabery Cheek bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi

Namun, bekas menteri itu dikatakan telah menolak untuk dicalonkan BN pada PRK kali ini.

"Setakat ini nama Ahmad Shabery berada dalam pilihan utama untuk diangkat BN sebagai calon PRK Kemaman.

"Namun, dia menolakanya. Tapi, tidak tahulah kalau pucuk pimpinan tetap mahukannya bertanding. Ahmad Shabery ada peluang untuk menang kembali di kerusi itu.

"Rekod perkhidmatannya di Kemaman sebelum ini cukup baik," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Tambahnya, Umno, BN juga turut mempunyai beberapa nama lain termasuk pemimpin muda untuk diketengahkan.

Ahmad Said

Pada 5 Nov lalu, bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said memaklumkan dia juga tidak akan bertanding pada PRK Kemaman Disember ini.

Ahmad yang pernah menjadi calon BN di kawasan Parlimen itu pada PRU15 dilaporkan oleh media sebagai berkata dia sendiri yang mencadangkan agar namanya tidak dimasukkan dalam senarai calon.

"Saya nak maklum bahawa Datuk Seri Ahmad Said telah mencadangkan untuk tidak bertanding di Parlimen Kemaman (PRK Kemaman).

"Maknanya bukan saya jadi calon dan calon (yang akan bertanding) ialah antara nama-nama hebat dan terkemuka (dalam Umno)," katanya seperti dipetik.

Che Alias Hamid

Pada PRU15 lalu, Ahmad tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.

Pertarungan empat penjuru ketika itu menyaksikan Che Alias meraih 65,714 undi menewaskan Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah yang bertujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Mengulas lanjut, sumber berkata seorang lagi nama yang dikaitkan sebagai calon BN di Kemaman ialah mudir sebuah pusat pengajian Islam di Terengganu.

"Seorang calon utama yang dalam pertimbangan adalah seorang mudir sebuah madrasah di negeri itu. Namanya saya tidak boleh dedahkan.

"Sebab rundingan sedang berjalan dan dia orang yang berpengaruh," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi sumber memaklumkan yang pucuk pimpinan Umno, BN akan memuktamadkan calon untuk bertanding di Kemaman Khamis nanti.

"Insya-Allah Khamis ini pucuk pimpinan akan muktamadkan calon bertanding," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS