Kerajaan sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan dasar dan draf perundangan mengenai Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi kini masih di peringkat simulasi kerana ia merupakan sebuah langkah cukai yang baaru diperkenalkan dan bakal dilaksanakan.
"Mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi adalah melalui penggubalan perundangan baharu iaitu Rang Undang-undang Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang akan dibentangkan nanti.
"Dasar perundangan perlu dirangka dan digubal dengan teliti supaya cukai dapat dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi amalan dan prinsip percukaian semasa dan tidak memberi kesan negatif," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata jumlah wang tidak dituntut yang terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM11.9 billion.
Beliau berkata kerajaan juga akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Wang Tidak Dituntut (WTD) dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mengakses WTD untuk mendapatkan wang masing-masing.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
- Bernama