Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Dua ahli parlimen dari Sabah berkata ketidakseimbangan ekonomi menjadi faktor golongan muda dari negeri itu merantau mencari rezeki di Semenanjung, walaupun berdepan dengan apa yang didakwa sebagai diskriminasi.

Isnaraissah Munirah Majelis (Warisan-Kota Belud) dan Vernon Bahanda (Bebas-Kudat) merujuk insiden baru-baru ini berkenaan seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri yang didakwa menyerang seorang penghantar makanan.

"Hanya kerana dia (bercakap) dialek Sabah, dia disangka sebagai orang luar.

"Perkara yang paling menyakitkan orang Sabah adalah bila dia ditanya 'kenapa bahasa kau lain?'

"Anda tahu apa perasaan (bila berdepan pertanyaan itu)? Macam orang asing," kata Isnaraissah ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dia kemudian mengingatkan betapa sejak bersama-sama Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak telah memberi sumbangan besar kepada kemakmuran ekonomi negara menerusi sumber aslinya.

"Sabah ini tidak diiktirafkah? Hormati kami, walaupun kawan-kawan kami hanya pekerja peringkat rendah.

"Ingat ini - sejahtera Malaya hari ini kerana hasil bumi Sabah dan Sarawak. Tanpa Sabah dan Sarawak,tidak ada Malaysia," tegasnya lagi.

Terdahulu, Isnaraissah mengulang cadangan agar kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan khusus menerusi sebuah akaun amanah.

Dia berkata cadangan itu belum dipertimbangkan walau sejumlah ahli parlimen Sabah dan kerajaan negeri telah membuat cadangan serupa sebelum ini.

Dia juga meminta kerajaan menjelaskan proses yang perlu dilakukan serta sama ada ia memerlukan pindaan Perlembagaan untuk memadai dengan arahan Perbendaharaan.

Sementara itu, Vernon ketika meminta penjelasan berkenaan peruntukan RM100 juta untuk projek berimpak tinggi berkata, kawasan Parlimennya kekal sebagai antara kawasan termiskin di Malaysia.

Turut membangkitkan dakwaan diskriminasi yang wujud, Vernon berkata, "masih ada yang melihat kami seperti orang luar sampai mereka tidak tahu bahasa yang kami guna (di Sabah)."

"Jadi saya minta kerajaan untuk beri lebih perhatian di kawasan-kawasan miskin ini," katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Nazron Abd Yusof dilaporkan berkata, siasatan sedang dibuat berhubung pergaduhan melibatkan dua individu, seperti yang dirakam dalam video tular minggu lalu.

Keesokannya, Sinar Harian melaporkan mereka telah saling memohon maaf namun siasatan tetap dibuat mengikut Seksyen 233 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS