Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menyangkal tiadanya takbir dan bacaan qunut nazilah ketika sambutan Minggu Solidariti Palestin di sekolah adalah satu bentuk Islamofobia.

Sebaliknya, Na’im berkata definisi Islamofobia adalah salah tanggapan terhadap Islam oleh orang bukan Islam.

"Islamofobia dapat diertikan sebagai ketakutan terhadap agama Islam, penganut atau apa yg berkaitan dengannya.

"Persoalan larangan takbir dan sebagainya bukanlah disebabkan Islamofobia, tetapi lebih kepada salah faham berkenaan kebersamaan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap isu yang berlaku di peringkat global," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada sekolah untuk melaksanakan Minggu Solidariti Palestin.

Berkenaan takbir dan qunut nazilah, Fadhlina berkata: "Jangan susah hati kalau sekolah tak ada takbir, tak ada qunut nazilah. Ada sebab mengapa ia berlangsung dalam suasana aktiviti yang dibenarkan dan bersesuaian dengan sekolah tersebut."

Na'im berkata lagi, kerajaan akan terus menggiatkan usaha penerangan bagi menunjukkan Islam adalah agama berteraskan keamanan, kesepakatan dan menggalakkan keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Bagaimanapun, Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) kemudian bangun mencelah dan mendakwa salah tanggapan itu juga ada dalam kalangan menteri, dengan membangkitkan hantaran Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) di X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Marzuk merujuk hantaran Nga berkenaan imej murid memegang senjata mainan ketika program solidariti Palestin yang mengundang perhatian sebelum ini dan berkata sekolah bukan tempat untuk "konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan.

Ahmad Marzuk Shaary

"Adakah Yang Berhormat (Na'im) berusaha untuk fahamkan menteri-menteri kabinet dulu?" soal Marzuk.

Howard Lee (PH-Ipoh Timor) kemudian menyuarakan bantahan dan berkata kenyataan tersebut bernada fitnah dan meminta Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yeing mengarahkan Marzuk untuk menarik balik kenyataannya.

Namun Lau meminta Marzuk menjelaskan kenyataan tersebut.

Marzuk kemudian menunjukkan salinan tangkap layar hantaran Nga yang memaparkan dua murid berpakaian seperti pejuang Palestin.

Suasana dewan kemudian menjadi kecoh apabila beberapa wakil rakyat dari kedua-dua pihak saling bertelagah dan melaungkan perkataan "biadab" dan "fitnah".

Lau kemudian mengarahkan Marzuk keluar dewan setelah enggan menarik balik kenyataannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS