Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) and Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) hari ini diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas bertikam lidah semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024, hari ini.

"Dua-dua keluar, pergi minum kopi," kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul.

Ia selepas Misbahul Munir mempersoalkan mengapa sekolah dilarang melaungkan takbir dan membacakan Qunut Nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.

Dia juga menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar membenarkan murid di sekolah agama melaungkan takbir dan membaca qunut nazilah, atas dasar kedua-duanya perkara biasa di Malaysia.

Sany Hamzan

Beberapa ahli parlimen kerajaan, termasuk Sany dan Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) kemudian mendakwa dia mengelirukan dewan.

Ketika Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil cuba mencelah perbahasannya, Misbahul Munir berkata "menteri yang salah" yang menjawab soal itu.

"Sabar menteri, anda boleh jawab ketika penggulungan. Saya tidak tanya menteri komunikasi.

"Anda tidak pedulikan peraturan," katanya lagi.

Johari kemudian mengarahkan semua ahli parlimen untuk duduk dan menutup mikrofon mereka, namun jeritan antara Sany dan Misbahul Munir masih dapat didengar.

Misbahul Munir

Ia menyebabkan Johari mengarahkan mereka berdua keluar dewan untuk persidangan hari ini.

Misbahul Munir menyuarakan rasa tidak puas hati kerana berpandangan Sany yang "mengganggu" perbahasannya, namun dia akhirnya keluar dari dewan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada sekolah untuk melaksanakan Minggu Solidariti Palestin.

Berkenaan takbir dan qunut nazilah, Fadhlina berkata: "Jangan susah hati kalau sekolah tak ada takbir, tak ada qunut nazilah. Ada sebab mengapa ia berlangsung dalam suasana aktiviti yang dibenarkan dan bersesuaian dengan sekolah tersebut."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS