Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan 'musuh Islam' - Ramasamy hantar surat peguam pada Zakir
Diterbitkan:  Nov 6, 2023 4:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Persengketaan antara pendakwah kontroversi Zakir Naik dan P Ramasamy berterusan selepas bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu membuat laporan polis dan mengemukakan surat tuntutan (LOD) berhubung klip video yang disiarkan di media sosial.

Menurut peguam Ramasamy, Shamsher Singh Thind, anak guamnya membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada jam 11.31 pagi selepas Zakir menggelar bekas pemimpin DAP itu sebagai "musuh Islam paling besar" semasa berceramah di Sokoto, Nigeria.

Klip video ceramah berdurasi 8.13 minit itu dimuat naik pada 4 Nov jam 1.25 tengah hari di laman Facebook Zakir, dengan kapsyen "Dr Zakir Naik Derma AS$320,000 untuk Palestin".

"Sehingga kini, petikan itu mendapat tontontan lebih 171,000, dan dikongsi oleh lebih 7,000, pengguna Facebook di seluruh dunia.

“Ia juga menarik kira-kira 30,000 reaksi dan kira-kira 2,000 komen," kata Shamser.

Dalam video itu, Zakir merujuk kepada beberapa saman yang difailkannya oleh ahli politik di Malaysia terhadap dirinya.

Dia dilaporkan berkata, kebanyakan kes diselesaikan di luar mahkamah.

"Tetapi musuh terbesar Islam, yang saya sebut, saya tidak memaafkannya. Saya kata biarkan kes mahkamah itu diteruskan.

“Kes mahkamah berlangsung selama dua tahun, dan pagi ini adalah keputusannya, dan hakim arahkan Ramasamy, yang ketika itu timbalan ketua menteri Pulau Pinang, membayar RM1.52 juta kepada Zakir sebagai pampasan," kata Zakir dalam video itu.

Shamser mendakwa bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Zakir adalah "sangat serius dan tidak berasas sama sekali".

“Laporan polis dibuat bagi meminta siasatan terhadap kesalahan seperti fitnah jenayah, penyalahgunaan multimedia dan sebagainya.

“Kami juga telah menghantar notis tuntutan fitnah ke alamat kediaman Zakir di Putrajaya, antara lain meminta dia menarik balik tuduhan itu secara keseluruhan, memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepada anak guam kami, memadam klip video dan berjanji tidak akan mengulangi tuduhan itu, semuanya dalam tempoh 14 hari," tambah Shamser.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS