Paling Popular
Terkini

Seorang ahli parlimen hari ini mencadangkan kerajaan melantik bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan untuk menerajui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan-Kota Melaka) memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ambiga harus menggantikan pengerusi SPR sedia ada Abdul Ghani Salleh yang akan bersara Mei depan.

"Kita maklum pengerusi akan bersara beberapa bulan lagi tahun depan Mei. Bagaimana kerajaan perpaduan akan melantik pengerusi SPR yang baru adakah mereka akan melalui PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) atau kita boleh mencadangkan nama?

"Sebab sebagai pengerusi itu adalah satu tugas yang memainkan peranan yang penting dalam usaha kita nak reformasi pilihan raya negara.

"Di sini saya cadangkan kerajaan perpaduan boleh mempertimbangkan Ambiga sebagai pengerusi SPR yang baru yang akan datang apabila pengerusi sedia ada bersara," katanya.

Malaysiakini difahamkan Abdul Ghani akan bersara pada 10 Mei 2024.

Ambiga ialah seorang peguam dan peguambela hak asasi manusia terkemuka, dan merupakan bekas presiden Majlis Peguam dari 2007 hingga 2009.

Ambiga juga merupakan penggerak di sebalik Bersih 2.0, pada 2011.

Dia kini berkhidmat dalam jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita, dan menganggotai Jawatankuasa Khas Majlis Peguam mengenai hak Orang Asli.

Sementara itu, antara pembaharuan pilihan raya yang dibangkitkan Khoo hari ini termasuk persempadanan semula yang adil bagi sempadan pilihan raya dan latihan tetap pegawai pilihan raya.

Khoo turut menggesa SPR mempertimbangkan pengundian dalam talian sebagai ganti undi pos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS