Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PIBG MCKK selar keluarga pelajar didakwa mangsa buli
Diterbitkan:  Nov 6, 2023 3:15 PM
Dikemaskini: Nov 7, 2023 8:24 AM

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menyelar keluarga pelajar tingkatan empat sekolah berasrama itu yang dilaporkan mendapat rawatan di hospital selepas didakwa dibuli.

PIBG MCKK berkata keluarga pelajar berkenaan tidak sepatutnya membuat hantaran kejadian itu di media sosial menyebabkannya menjadi tular dan menjejaskan reputasi sekolah itu.

"Tindakan penularan ini dilihat telah memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya," kata PIBG sekolah itu pada satu kenyataan di media sosial.

"Pihak PIBG MCKK kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini.

"PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah dan meyakini serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi keluarga pelajar berkenaan, sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Maklum balas keluarga pelajar itu belum lagi diterbitkan sementara menunggu jawapan daripada ketiga-tiga pihak berkepentingan ini. Pihak sekolah dan kementerian masih belum memberi komen mengenai hal ini.

Sebelum ini, polis daerah Kuala Kangsar dilaporkan mengesahkan sedang menyiasat kes buli membabitkan seorang pelajar sekolah berasrama di daerah itu.

‘Hormati keputusan sekolah'

Sementara itu, PIBG berkata, ibu bapa pelajar berkenaan sepatutnya menghormati prosedur dan keputusan sekolah.

"Keputusan yang diambil oleh pihak sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak," katanya lagi.

PIBG juga mendakwa ibu bapa pelajar Tingkatan 4 itu telah menulis surat mengugut akan mengambil tindakan terhadap pihak berkuasa sekolah sekiranya pihak sekolah kekal dengan keputusan mengenai perkara itu.

Dalam surat itu, yang telah tular, ibu bapa pelajar berkenaan mendakwa pembuli tidak digantung sekolah walaupun beberapa hukuman telah dikenakan.

"PIBG MCKK menghormati pendirian pihak sekolah dan pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman yang diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan 4," katanya.

PIBG MCKK mendakwa, sejak dakwaan kes buli itu, pihaknya menerima laporan mengenai para pelajar MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan di sekitar Kuala Kangsar.

"(Para pelajar MCKK ini) dicop sebagai pembuli.

"PIBG MCKK memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini," katanya lagi.

Pelajar juga digesa melaporkan sebarang serangan terhadap mereka kepada pihak sekolah, dan laporan polis akan dibuat, kata PIBG


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS