Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Belanjawan 2024 Perdana Menteri Anwar Ibrahim diluluskan hari ini di peringkat melalui undian suara selepas ia selesai dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa sejak 16 Okt lalu.

Undian suara itu dibuat selepas Anwar - yang juga menteri kewangan - menggulung perbahasan peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan hari ini.

Rang Undang-undang Perbekalan 2024 akan dibawa untuk bacaan kali kedua dan dibahaskan di peringkat jawatankuasa membabitkan peruntukan RM393.8 bilion.

Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’, bajet kedua Anwar itu terdiri daripada RM303.8 bilion peruntukan untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Perbahasan di peringkat dasar dilaksanakan selama lapan hari bermula 16 Okt, disusuli dengan penggulungan selama empat hari mulai 30 Okt.

Jika ia diluluskan di peirngkat jawatankuasa nanti, bacaan ketiga akan dibuat di Dewan Rakyat sebelum dibawa ke Dewan Negara.

RUU itu akhirnya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda.

Antara perkara yang menarik perhatian dalam belanjawan kali ini ialah unjuran defisit fiskal tahun depan dijangka berkurangan kepada 4.3 peratus berbanding 5.0 peratus tahun ini.

Kerajaan juga akan menguatkuasakan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HGVT) baru, dan cukai keuntungan modal yang dijangka menambah lebih RM4 bilion kepada hasil negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS