Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua ahli parlimen agar memberi ruang kepada sekolah untuk melaksanakan program Minggu Solidariti Palestin.

Fadhlina yang dilihat menahan sebak turut mengecam mereka yang mengkritik program itu, dan menegaskan ia bertujuan mendidik kanak-kanak tentang nilai keamanan sejagat.

"Beri ruang kepada kami untuk laksanakan tanggungjawab kami dan mengutamakan proses pendidikan pemanusiaan ini.

“Jangan kacau kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru-guru kami. Yang sana (mahupun) yang sini, Sama! Jangan usik!

"Beri ruang keada pendidikan ini sebagai satu proses. Fahaminya sebagai satu mesej yang penting untuk mendidik (soal) kemanusiaan (kepada murid)," katanya di penghujung penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas permintaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) agar dia menjelaskan kenyataannya yang dikeluarkan pagi ini, bahawa "sesetengah pihak" membuat kacau ganggu ke atas program itu.

Ketika menghadiri Minggu Solidariti Palestin di sebuah sekolah hari ini, Fadhlina berkata komuniti pendidikan jelas dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk program itu.

"(Ia) menjadi polemik kerana ia dipolitikkan dan dikacau ganggu oleh orang luar,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali di Ampang dekat Kuala Lumpur.

Dia juga menegaskan tidak timbul sebarang isu di kalangan guru dan pentadbir sekolah berkenaan garis panduan yang dikeluarkan KPM, termasuk untuk tidak menyatakan perspektif satu pihak sahaja.

Di Dewan Rakyat, Fadhlina berkata dia telah mengambil kira pandangan dan kritikan semua pihak.

“Saya harap jangan bising, jangan susah hati kalau sekolah tak ada takbir, tak ada qunut nazilah (ketika program).

“Ada sebab mengapa ia berlangsung dalam suasana aktiviti yang dibenarkan dan bersesuaian dengan sekolah tersebut,” katanya lagi.

Laporan tambahan oleh Cha Zhi Ting


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS