Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Melayu yang 'termakan' nasi kandar babi adalah penipu

Sekali lagi penggemar makanan Melayu gempar apabila makanan halal kegemaran rakyat jelata Malaysia diolah semula menjadi versi tidak halal.

Namun, agak jelas kemarahan yang timbul itu, bak kata orang putih, faux outrage (marah tipu).

Ini kerana agak mustahil seorang umat Islam yang kuat iman akan "termakan" nasi kandar atau nasi lemak berlauk babi.

Secara logiknya, makanan tersebut sah akan dijual di kedai yang menghidang makanan tidak halal.

Kalau membuat pesanan melalui aplikasi telefon pun, kedai sebegitu akan jelas tertulis ia tidak halal.

Kemudian, setelah melanggan kedai yang jelas tidak halal itu, seseorang itu perlu membuat pesanan untuk dihidang nasi kandar lauk babi.

Maka, untuk seorang Muslim "termakan" hidangan tidak halal itu, dia mesti pergi ke kedai yang jelas menghidang babi, dan kemudian memesan makanan yang mengandungi babi.

Jelas, dalam situasi begini, "termakan" itu adalah tipu helah semata.

Dalam situasi seperti rumah terbuka, atau potluck di pejabat pula, umat Islam perlu lebih percaya kepada rakan-rakan mereka yang bukan Islam.

Kita hidup dalam masyarakat yang majmuk, dan rakan-rakan kita yang bukan Islam jelas tahu kita tidak boleh makan babi.

Contohnya di majlis keramaian bangsa Cina, kebiasaanya akan ada meja halal atau vegetarian jika tuan rumah mengetahui ada jemputan beragama Islam yang hadir ke majlis tersebut.

Jika pun dalam situasi yang amat jarang berlaku, ada babi yang dihidang ketika jamuan contohnya, sudah semestinya orang Islam yang hadir akan diberitahu untuk tidak makan lauk tersebut.

Sama seperti nasi kandar babi, dalam situasi begini, umat Islam yang memakan makanan yang haram itu jelas melakukannya dengan sengaja.

Orang sebegini tidak keliru atau terpedaya atau terpengaruh semata-mata wujudnya juadah Melayu atau India Muslim yang berlauk babi, kerana hati nurani mereka sudah memang terpesong dari akidah.

Justeru, tidak perlulah kaum Melayu dan umat Islam mengamuk apabila masakan yang biasanya halal dijadikan haram, kerana ia jelas bukan untuk kita.


ZIKRI KAMARULZAMAN ialah anggota sidang redaksi Malaysiakini. Bagaimanapun tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS