Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Razak Ridzuan, sekali lagi tampil mencerakinkan hujahnya dalam membuktikan kegagalan sayap parti itu mempengaruhi sokongan golongan muda.
Menurutnya, majoriti besar pengundi muda memilih Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
Malah tegasnya, kepimpinan Pemuda Amanah juga tidak dikenali oleh rata-rata orang muda di Malaysia dan kehadiran mereka tidak disedari.
“Biar saya cerakinkan dan telusuri satu persatu. Objektif paling utama kewujudan sebuah parti politik adalah untuk raih undi dan menang pilihanraya. Kegagalan mencapai tujuan tersebut bermakna parti tersebut gagal. Semudah itu.
“Dalam konteks sayap Pemuda Amanah juga sama. Gagal ‘deliver’ undi muda khususnya dari kalangan pengundi Melayu-Islam, bermakna Pemuda Amanah telah gagal.
“Ya, pemuda Pakatan Harapan (PH) keseluruhannya tidak bermaya berdepan cabaran tersebut, namun parti komponen Melayu-Islam satu-satunya dalam PH adalah Amanah. Maka beban tanggungjawab dan kegagalan tersebut harus ditanggung pertama dan utamanya oleh Pemuda Amanah. Kita boleh saja mencari alasan dengan menepis kegagalan tersebut kepada Amanah Nasional,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Kenyataan ini sebagai mengulas perbahasan di kalangan pimpinan Pemuda Amanah khususnya menjelang pemilihan parti itu pada Disember depan.
Terdahulu tiga individu tampil menyatakan hasrat untuk menerajui kepimpinan Pemuda Amanah termasuk penyandangnya Hasbi Muda.
Razak sebelum ini mengkritik kepimpinan Pemuda Amanah sedia ada sekali gus berharap barisan kepimpinan baru ditonjolkan pada pemilihan kali ini.
Sementara itu mengulas lanjut Razak berkata pada akhirnya sesebuah parti ditentukan halatujunya oleh kepimpinan pusat, bukan sayap parti.
Ujarnya, air yang keruh di hulu takkan mungkin jernih di hilir.
“Ada benar juga telahan itu. Tapi adakah itu bermakna Pemuda langsung tiada mampu melakukan apa-apa? Hanya pasrah berserah menunggu pemilihan untuk kekalkan jawatan? Takpa.
“Kita analisis lebih dalam lagi. Jika kuasai undi muda adalah taktik kita untuk menang pilihan raya, maka apa strategi kita untuk mencapai gerak taktikal tersebut?
“Katakan strateginya adalah kuasai naratif di TikTok dan tonjolkan pemimpin pemuda sebagai ‘opinion leader’ di ruang awam. Jika kedua-dua strategi tersebut berjaya kita laksanakan, tapi undi muda masih pergi berbondong-bondong kepada PN, maka bolehlah kita meletakkan kesalahan total kepada kepimpinan nasional parti, kerana di peringkat pemuda kita sudah lakukan segalanya,” katanya.
Namun tambah Razak, situasi realiti adalah sebaliknya dan Pemuda Amanah hampir tidak wujud di Tik Tok, dan pemimpin pemuda hampir langsung tidak dikenali.
“Saya boleh telusuri lebih dalam lagi jika mahu. Adakah kegagalan melaksanakan strategi tersebut kerana Pemuda Amanah sendiri tiada halatuju, hanya reaktif kepada suasana politik yang berubah-ubah, kerana pemimpin utama pemuda (termasuk saya sendiri) tiada upaya menginspirasikan.
“Seterusnya memobilisasikan pemuda di peringkat akar umbi, tiada sistem pengkaderan dan latihan tersusun untuk melahirkan pelapis dan pempengaruh di media sosial, tiada sistem pengurusan dari setiap segi seperti organisasi, komunikasi dan pilihan raya.
“Semua itu biarlah Pemuda Amanah di negeri dan kawasan berbahas dan bertiwikrama untuk memahami realiti pemuda dengan lebih tuntas. Peranan saya adalah memulakan perbincangan,” katanya.
Berdasarkan hujah dibentangkan itu soalnya, masih layakkah pimpinan utama Pemuda Amanah untuk mempertahankan jawatan?
“Masih layakkan saya untuk terus mengetuai Pemuda? Pemuda perlu perubahan radikal. Kita tiada gagasan, tiada sistem, tiada pengaruh. Kita gagal,” tegas Razak.