Cukai Barang Bernilai Tinggi yang sebelum ini dikenali sebagai Cukai Barang Mewah akan dilaksanakan mulai 1 Mei tahun depan, kata Menteri Kewangan Anwar Ibrahim.
Dalam jawapan bertulis kepada Chong Zhemin (PH - Kampar), Anwar berkata kementerainnya dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan dasar dan perundangan cukai barang bernilai tinggi itu.
“Mekanisme pelaksanaan, jenis barang dan kadar cukai barang bernilai tinggi akan diumumkan sebaik sahaja perkara tersebut dimuktamadkan dan diluluskan oleh jemaah menteri,” kata Anwar.
Cukai baru itu diumumkan oleh Anwar semasa pembentangan Belanjawan 2024. Ketika itu, katanya, antara lain, cukai berkenaan akan meliputi barangan kemas dan jam tangan.
Anwar juga dilaporkan berkata, pelancong akan mendapat bayaran balik daripada cukai tersebut.
Memetik sumber, akhbar The Star pada 27 Oktober lalu melaporkan, cukai itu dijangka akan dikenakan ke atas barangan mahal seperti jet peribadi, kapal layar, barangan kemas dan kereta mewah.
Sumber itu mendakwa cukai berkenaan akan dikenakan ke atas kereta yang dijual melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 dan barangan kemas berharga melebihi RM10,000.
Menurut sumber itu, perkara tersebut disenaraikan dalam dokumen yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas industri.
Sementara itu, Anwar memberitahu Zulkafperi Hanapi (PN - Tanjung Karang) bahawa pada masa ini, kerajaan belum bercadang untuk mengembalikan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Sebarang perubahan polisi berkaitan cukai akan mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana,” kata Anwar dalam jawapan bertulisnya.