Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin pertahan cadangan pindaan perlembagaan isu kewarganegaraan

Kementerian Dalam Negeri dijangka mengekalkan dan membentangkan di Dewan Rakyat kesemua lapan cadangan untuk meminda peruntukan berkaitan pemberian kerakyatan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk cadangan pindaan yang dikritik kumpulan masyarakat sivil sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dia sudah memberi penjelasan kepada pihak berkepentingan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan berhubung cadangan pindaan itu.

"Saya sendiri berkali-kali tak terhitung (mengadakan libat urus). Ada pandangan mereka saya catat, ada pandangan saya beri penjelasan. Dari lapan (cadangan pindaan perlembagaan) apa paling sensitif pada mereka? Isu anak tanpa kewarganegaraan, anak terbuang, anak tak ada identiti," kata Saifuddin dalam ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024.

"Saya jelaskan pada mereka, ketika perlembagaan dibuat tahun 1950an, negara belum berdepan isu pendatang asing tanpa izin, pelarian dan lain-lain," katanya.


BACA LEBIH LANJUT: PANDUANKINI | Pindaan perlembagaan akan burukkan lagi isu tiada kerakyatan?


Saifuddin menjawab soalan Howard Lee (Pakatan Harapan-Ipoh Timur) yang bertanya sama ada kerajaan telah mengambil kira kritikan terhadap cadangan itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pada masa ini terdapat tiga cara untuk menerima kerakyatan Malaysia - pengendalian undang-undang, pendaftaran dan naturalisasi.

Saifuddin memetik contoh seorang anak yang dilahirkan di Malaysia kepada ibu warga Rohingya dan bapa Indonesia - yang merupakan pendatang tanpa izin di negara ini.

"Mengikut kuat kuasa undang-undang, anak itu adalah warganegara. Jadi kita nak bahas di sini (Dewan Rakyat). Kita kata anak itu harus didaftarkan dahulu di pusat jagaan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).

"Biar JKM yang memasukkan permohonan pendaftaran. Perlu ada elemen pemeriksaan, siasatan dan sebagainya. Jadi, dari jalur kuat kuasa undang-undang untuk mendapat warganegara, kita cadang (ubah) jalur pendaftaran. Masih ada ruang (untuk dapatkan kewarganegaraan). Saya jelaskan (pada mereka yang mengkritik cadangan pindaan)," katanya.

Saifuddin juga memaklumkan bahawa cadangan itu telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja awal minggu ini.

Saifuddin turut tidak menolak kemungkinan pindaan berhubung undang-undang kewarganegaraan turut melibatkan pindaan pada akta lain selain perlembagaan.

“Undang-undang berkaitan warganegara bukan hanya di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi turut didukung dengan akta dan peraturan lain seperti Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Akta Pendaftaran Negara 1959, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959.

"Prinsip kewarganegaraan dihurai dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi untuk tujuan meluluskan isu warganegara turut diapit berbelas lagi peraturan… justeru bentuk pindaan nanti mungkin tidak dicerminkan pada Perlembagaan Persekutuan tetapi mungkin pada akta-akta sokongan ini...ini akan dimuktamadkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS