Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lintasan sempadan Rafah dibuka, telekomunikasi di Gaza lumpuh lagi
Diterbitkan:  Nov 1, 2023 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir dibuka kepada orang awam yang meninggalkan Gaza buat kali pertama sejak keganasan berlaku di sana pada 7 Okt.

Kira-kira 80 rakyat Palestin yang cedera dan 400 warga asing terpilih akan dibenarkan melalui persimpangan sempadan Rafah untuk pergi ke Mesir dari Gaza, lapor al Jazeera.

Nama mereka yang dibenarkan menyeberangi telah diterbitkan oleh Penguasa Sempadan dan Lintasan Gaza manakala warga asing juga dimaklumkan oleh kedutaan mereka melalui telefon.

Trak bantuan juga sedang menunggu untuk memasuki Gaza, manakala ambulans telah memasuki Mesir dari Gaza, kata laporan itu.

Menteri Luar UK James Cleverly berkata "Pasukan UK bersedia untuk membantu warga Britain sebaik sahaja mereka dibenarkan meninggalkan Gaza."

"Adalah penting bahawa bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa boleh memasuki Gaza secepat mungkin," katanya di X (Twitter).

Ini berlaku apabila PalTel, penyedia telekomunikasi di Palestin berkata perkhidmatan komunikasi di Gaza kembali lumpuh, menambah kesukaran sedia ada.

Minggu lalu pekerja PalTel berjaya memulihkan perkhidmatan selepas membaiki infrastruktur telekomunikasi yang rosak akibat serangan udara.

Gangguan telekomunikasi terbaru telah mendorong Menteri Perhubungan Palestin merayu kepada Mesir untuk mengaktifkan perkhidmatan roaming di rangkaian Mesir.

Awal minggu ini, berikutan perjanjian antara pihak berkuasa Palestin dan Mesir, Vodafone Egypt berkata ia boleh menyediakan stesen mudah alih di sempadan untuk memulihkan internet di Gaza.

Secara berasingan, dua hospital di Gaza - Hospital Indonesia dan Hospital al Shifa - hanya beberapa jam lagi akan kehabisan minyak, kata pegawai kesihatan Palestin.

Israel tidak membenarkan sebarang bahan api masuk, dengan alasan ia akan diguna oleh Hamas.

Semalam, pengarah Hospital Indonesia, Atef al-Kahlout memberitahu Al Jazeera bahawa sumber dan ruang sangat terhad di hospital.

"Kami melakukan pembedahan di atas tanah dan tanpa bius," katanya

Terdapat juga kekurangan air, makanan dan ubat-ubatan dengan hanya bilangan trak yang terhad dibenarkan masuk untuk membawa bantuan, melalui Mesir.

Lebih 8,000 rakyat Palestin dan lebih 1,400 warga Israel telah terbunuh dalam keganasan terbaru sejak 7 Okt, termasuk lebih 3,000 kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS