Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Renong: Halim dakwa tak diberi pilihan di depan Mahathir

Halim Saad berhujah dia tidak diberikan "sebarang pilihan" dalam pertemuannya dengan Dr Mahahthir Mohamad pada 2001 sehingga menyebabkan dia terpaksa melepaskan pegangan dalam syarikat Renong Bhd.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu.

Dalam jawapan plaintif terhadap pernyataan pembelaan Mahathir bagi tuntutannya, Halim menegaskan lagi bahawa dia dipaksa oleh perdana menteri terbabit bersama dua yang lain untuk bersetuju dengan "pengambilan paksa" berkenaan.

Dua lagi individu yang menjadi defendan dalam saman sivil itu ialah Nor Mohamed Yakcop selaku menteri kewangan kedua ketika itu, serta kerajaan persekutuan.

"Plaintif tidak diberikan apa-apa pilihan dalam mesyuarat-mesyuaratnya dengan TM (Mahathir) dan TSNY (Nor Mohamed) dari, pada, atau sekitar 12 Jul 2001 hingga 17 Jul 2001," katanya.

Dalam jawapannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Okt, Halim menegaskan bahawa dia "tidak menyetujui pengambilan paksa terhadap haknya" dan pelucutan hak sebagai pemegang saham mengawal Renong.

Melalui pernyataan pembelaan mereka terhadap tuntutan pampasan Halim, Mahathir dan dua defendan lain berhujah plaintif terbabit tidak pernah dipaksa untuk melepaskan pegangan dalam syarikat terbabit.

Ketiga-tiga mereka antara lain mendakwa Halim sendiri bersetuju untuk melaksanakan tawaran am (GO) ke atas keseluruhan pegangan saham, dan plaintif diberi pampasan sewajarnya sebanyak RM165 juta.

Dalam jawapan itu, Halim seterusnya menegaskan bahawa pampasan RM165 juta itu tidak memadai kerana dia RM100 juta daripadanya terpaksa dibayar kepada kepada UEM berhubung dengan opsyen jual.

Halim mendakwa kerajaan memintanya dan UEC supaya mebiakan opsyen jualan tersebut luput.

Halim mendakwa wang RM165 juta itu sebenarnya bukanlah pampasan untuknya kerana melepaskan pegangan saham Renong kerana langkah tersebut adalah bagi membantunya menangani kerugian akibat penutupan gadai janji terhadap pelbagai aset yang disandarkan kepada pelbagai pembiaya bagi tujuan membiayai jumlah RM100 juta tersebut.

Plaintif mendakwa hal itu dibuktikan melalui suratnya kepada Khazanah Nasional Bhd bertarikh 13 Mei 2003.

Sebelum ini dalam tuntutannya Halim mendakwa Mahathir - secara langsung dan melalui Nor Mohamed - mengarahkan dia agar tidak meneruskan tawaran am (GO) kerana kerajaan mahu memperoleh semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, Khazanah atau pihak yang akan dicadangkan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS