Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reaksi bercampur peniaga, pembeli susulan penamatan subsidi ayam

Langkah kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menamatkan subsidi ayam mulai esok menerima reaksi berbeza dalam kalangan peniaga ayam segar di Kuantan, Pahang.

Seorang peniaga, Ahmad Darwisy Sulaiman, 62, berkata dia menyambut baik tindakan itu kerana selama ini yang mendapat manfaat melalui subsidi disediakan kerajaan adalah penternak dan orang tengah.

"Ayam ini patutnya harga tak perlu kawal, sebab dia (permintaan) bermusim.

"Dia (pembekal) dapat subsidi, tapi harga (jual kepada peniaga) tetap mahal.

Ahmad Darwisy Sulaiman

"Misalnya, harga ayam RM8.10 sekilogram, dia (pembekal) jual kepada kami RM8.70 (sekilogram), elok tak payah subsidilah, buat rugi kerajaan je," katanya yang berniaga ayam segar di pasar besar Kuantan.

Seorang lagi pembekal ayam segar di pasar itu, Mohammad Abdullah, 44, berpendapat penamatan subsidi ayam itu dijangka membuka ruang kepada harga ayam yang lebih fleksibel.

"Bila dah tiada subsidi, maknanya harga ayam akan ditetapkan berdasarkan harga dari ladang dan pembekal.

"Cuma ia (harga) mungkin berubah setiap hari, hari ini murah, esok mungkin naik, tapi lebih mudah nak pantau.

"Jadi, pembeli pun boleh tengok hari apa nak beli ayam sebab harga akan berubah setiap hari," katanya.

Mohammad Abdullah

Dia turut memaklumkan pemberian subsidi oleh kerajaan sebelum ini hanya menguntungkan pembekal dan penternak.

Katanya, peniaga tidak menerima subsidi secara terus daripada kerajaan, tapi perlu menjual harga ayam secara runcit pada harga siling ditetapkan.

"Kadang-kadang kita terima bekalan ayam pun dah harga RM8.40 hingga RM8.90 sekilogram.

"Tapi kami tetap kena jual RM9.40 sekilogram, jadi kadar 'margin' keuntungan itu tak sampai 20 peratus.

"Sedangkan kami kena tanggung sewa premis dan gaji pekerja lagi, maknanya untung itu adalah sikit, tapi kadang-kadang tak berpadanan dengan kerja dari awal pagi," ujarnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Azila Muhammad, 49 ketika ditemui berharap harga ayam tidak naik mendadak selepas harganya mula diapungkan esok.

Azila Muhammad,

"Ada dengar cerita (subsidi ayam nak ditarik balik kerajaan), tapi tak tahu lah macam mana pengiraannya tu.

"Sama ada harga terus naik ke, hari-hari naik ke. Kalau nak turun harga tu mungkin tak lah kan," katanya.

Semalam, Menteri KPKM, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, penamatan subsidi ayam itu dibuat selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil.

Dia bagaimanapun memberi jaminan kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.

Untuk itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.

Sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam, justeru penamatan subsidi dan kawalan harga ayam itu, dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM100 juta sebulan diperuntukan untuk subsidi bahan mentah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS