Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LCS: Mindef boleh bayar terus pada OEM jika SPV bermasalah - menteri

Kementerian Pertahanan melalui perjanjian tambahan keenam untuk projek kapal tempur pesisir (LCS), yang ditandatangani pada Mei, telah merundingkan klausa yang membenarkan pembayaran terus dibuat kepada semua pengeluar peralatan asal (OEM).

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata pembayaran terus kepada syarikat itu boleh dibuat jika timbul sebarang "masalah" dengan Ocean Sunshine Bhd, unit tidak langsung Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Ocean Sunshine ialah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan.

“Untuk (mempunyai) kawalan supaya tidak ada lagi (masalah) seperti dahulu, ada klausa dalam perjanjian tambahan No 6 untuk kerajaan membuat pembayaran terus kepada semua OEM jika ada masalah dengan SPV,” kata Mohamad dalam penggulungan kementeriannya bagi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 26 Mei, Mohamad mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan menubuhkan Ocean Sunshine untuk mengambil alih Boustead Naval Shipyard (BNS) dan meneruskan pembinaan LCS, yang kini sedang berjalan dengan kapal pertama dijangka siap pada 2024.

Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) sebelum itu bangun dan mempersoalkan siapa individu di sebalik Ocean Sunshine, serta merit mereka mengendalikan salah satu projek perolehan terbesar negara.

“Saya bimbang Ocean Sunshine hanyalah sebuah syarikat shell yang ditubuhkan untuk menipu rakyat Malaysia.

"Apakah jaminan Mindef bahawa Ocean Sunshine tidak akan sama dengan BNS?" kata Ahli Parlimen Bersatu itu merujuk kepada syarikat yang sebelum ini terlibat dalam pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan kapal tentera laut.

Mohamad memberi jaminan bahawa semua pembayaran hanya akan dibuat berdasarkan perkembangan projek, tidak seperti sebelum ini berdasarkan tempoh masa tertentu.

Dia berkata kemajuan projek itu juga akan dipantau oleh dua ketua setiausaha dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan, selain mematuhi arahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen supaya laporan berkala dibentangkan di Parlimen.

Laporan PAC yang dikeluarkan awal bulan ini menyatakan pembinaan lima LCS dengan anggaran kos RM11.2 bilion dijangka siap pada 2029, berbanding kontrak asal yang menetapkan aset itu sepatutnya diserahkan pada 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS