Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia pasti akan membalas pelaburan dan perdagangan yang semakin meningkat dari Singapura ke Malaysia dengan usaha serius untuk menyelesaikan sebahagian besar isu yang masih belum terungkai.

“...isu tertunggak kadangkala dianggap boleh menimbulkan pertikaian... di sini saya mencadangkan sebahagian besarnya diselesaikan secara baik melalui hubungan persahabatan,” kata Anwar dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong.

Anwar juga berkata dia berbesar hati melihat tahap pencapaian dalam menyelesaikan isu-isu berkenaan yang menurutnya "tidak pernah berlaku sebelum ini."

Kedua-dua pemimpin itu bertemu di Singapura hari ini untuk Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10. Ia merupakan pemukiman pertama diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Anwar berkata dia sering mencadangkan agar kedua-dua negara tidak mengambil isu itu secara berasingan sebaliknya melihat secara keseluruhan, dari sudut bilateral dan kepentingan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Menyentuh mengenai isu bekalan air yang lama tertunggak, Anwar berkata pendirian Malaysia adalah jelas, iaitu "kami perlu menghormati komitmen bekalan air dari Johor ke Singapura."

"Kita perlu bekerjasama untuk memastikan Johor akan dapat meningkatkan kapasiti melalui sungai Johor untuk memenuhi keperluan Johor dan Singapura.

“Saya rasa daripada hanya menumpukan kepada mekanisme harga, kita patut melihat kepada kemungkinan Singapura menyertai usaha bersama... satu kajian yang boleh dilaksanakan segera dan juga dari segi pengurusan sungai Johor dengan negeri Johor,” katanya.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pemukiman itu, kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Air Sungai Johor 1962 (62WA).

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju membentuk semula jawatankuasa teknikal bersama bagi menyambung perbincangan mengenai usaha melindungi kualiti air, selain meningkatkan hasil Sungai Johor bagi memastikan bekalan air mampan seperti termaktub dalam 62WA.

Mereka juga sepakat supaya kedua-dua negara menyambung semula perbincangan mengenai harga air mentah dan terawat tanpa menjejaskan kedudukan masing-masing yang lama telah dibuat mengenai hak untuk menyemak semula harga berdasarkan 62RW.

Kaji semula pengaturan delegasi

Anwar dan Lee turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa perairan Singapura dan Johor atas kerjasama erat yang berterusan berhubung kait isu air.

Kedua-dua pemimpin kemudian menggalakkan pihak berkuasa air supaya mengekalkan hubungan kerja cemerlang mereka selain mengharapkan lebih banyak bidang kerjasama diwujudkan antara kedua-dua negara.

Mengenai isu ruang udara, Anwar berkata beberapa persetujuan mengenai parameter rundingan dipersetujui yang menggambarkan "pencapaian luar biasa dalam hubungan dua hala".

Dalam kenyataan bersama itu kedua-dua pemimpin antara lain bersetuju untuk mengkaji semula pengaturan delegasi bagi menyediakan perkhidmatan trafik udara di Selatan Semenanjung Malaysia.

Ini disyorkan dan diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 1973 dan dilaksanakan melalui Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura mengenai Ketibaan, Berlepas dan Penerbangan Singapura 1974.

“Semakan ini hendaklah mengikut keperluan ICAO dalam pengurusan trafik udara yang selamat dan cekap serta menampung keperluan operasi semasa kedua-dua negara dan akan datang,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin menugaskan menteri pengangkutan masing-masing untuk berbincang dan bersetuju mengenai satu set prinsip dan hasil untuk membantu kedua-dua pihak berkuasa penerbangan awam bergerak secepat mungkin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS