Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS kurang selesa gesaan kaji semula Minggu Solidariti Palestin
Diterbitkan:  Oct 29, 2023 9:12 PM
Dikemaskini: Oct 30, 2023 12:26 AM

PAS menyuarakan rasa "kurang selesa" berhubung gesaan yang dibuat 12 wakil rakyat PKR agar penganjuran Minggu Solidariti Palestin dikaji semula, terutama dengan istilah yang digunakan.

Sementara setuju pengisian program yang mengundang perhatian baru-baru ini perlu dihindari, PAS berkata ia bukan isu pokok untuk menjadi sebab pelaksanaan minggu tersebut dipertimbang semula.

Takiyuddin Hassan

"PAS berasa kurang selesa dengan tindakan 12 wakil rakyat PKR menggunakan terma seperti dendam, kebencian dan keganasan sebagai asas kebimbangan dan bantahan mereka terhadap program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pengajian awam anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

"Penggunaan terma sedemikian walaupun secara negatif, bukan sahaja terdedah kepada salah anggap, malah kelihatan seperti mahu melanjutkan lagi naratif dakyah dan prasangka yang dijuarai oleh media Barat serta pihak yang menyokong rejim aparteid Israel apabila merujuk kepada perjuangan rakyat Palestin," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, kumpulan wakil rakyat PKR itu perlu lebih berhati-hati agar tidak dilihat cuba memberi gambaran salah berkenaan perjuangan rakyat Palestin atau cuba mensabotaj hasrat KPM untuk mendedahkan para pelajar terhadap konflik Palestin-Israel.

Semalam, tiga ahli Parlimen dan sembilan Adun PKR dalam kenyataan bersama menggesa KPM mengkaji semula penganjuran Minggu Solidariti Palestin agar sekolah dan institusi pendidikan awam bebas daripada unsur kebencian, dendam dan keganasan.

Walaupun KPM bertujuan menyemai nilai manusiawi kepada pelajar menerusi program itu, sukar untuk kementerian itu memantau perjalanan program tersebut, kata mereka.

DAP juga menggesa minggu itu dikaji semula dan tindakan tatatertib dikenakan terhadap pihak yang menganjurkan program yang mengandungi unsur-unsur keganasan dan ekstremisme.

Ia selepas tersebar gambar murid memegang senjata mainan di sekolah, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

KPM bagaimanapun menjelaskan program itu tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan jelas tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan.

Takiyuddin turut menggesa KPM menyediakan garis panduan lebih terperinci kepada sekolah dan institusi pendidikan berhubung pengisian Minggu Solidariti Palestin.

"PAS bersetuju bahawa elemen-elemen sedemikian (berunsur perang) tidak harus dibawa masuk atau disuburkan bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah masyarakat kita juga.

"Namun demikian, penggunaannya dalam konteks perjuangan dan penentangan sah rakyat Palestin terhadap pencerobohan dan penaklukan oleh sebuah rejim yang terbentuk secara unilateral berdasarkan percaturan kepentingan tidak sah kuasa-kuasa kolonial selepas tamatnya Perang Dunia ke-2 itu adalah sama buruknya dengan pencerobohan dan penaklukan yang dilakukan," katanya.

Katanya lagi, undang-undang dan nilai sejagat menerima perjuangan pembebasan daripada penjajahan sebagai hak asasi, sama ada secara aman dan diplomasi mahupun perjuangan bersenjata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS