Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan perhebat program Smart SBB Ala Sekinchan
Diterbitkan:  Oct 29, 2023 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Kerajaan sedang memperhebatkan lagi Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata ia bagi menampung keperluan beras tempatan terutama bagi negeri yang terjejas dengan musim tengkujuh.

"Sekarang ini pengeluaran padi di Sabah dan Sarawak pun masih di paras rendah untuk mencukupkan keperluan bagi penduduk setempat.

"Tetapi kerajaan yakin dalam jangka masa panjang kedua-dua negeri tersebut boleh menjadi negeri jelapang padi, bukan sahaja pengeluarannya cukup untuk penduduk dalam negeri tetapi dapat juga mereka bekalkan beras ke negeri-negeri lain nanti," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Santai Agro Madani Penuaian Program Smart SBB Ala Sekinchan di Dewan Terbuka Kampung Gerai di Jertih hari ini.

Mohamad berkata selain Sabah dan Sarawak, kementeriannya juga menerima kerjasama baik daripada kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Johor bagi menjalankan program itu yang menerapkan amalan penanaman padi secara bersepadu menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil.

Mohamad berkata Smart SBB Ala Sekinchan yang diperkenalkan akhir tahun 2021 sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan kawasan keluasan lebih 26,000 hektar.

Dalam pada itu Mohamad berkata kerajaan akan meneliti semula jadual penanaman padi terutama di negeri Pantai Timur bagi membolehkan ia dituai sebelum musim tengkujuh.

Hal itu katanya bagi mengurangkan kerugian ditanggung petani yang mempunyai sawah di kawasan berisiko banjir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS