Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk bantah 'kelulusan tak dijangka' buat kuil Hindu Tmn Medan

Sekumpulan penduduk Islam di Taman Medan, Petaling Jaya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kelulusan diberi kerajaan terhadap projek pembinaan kuil Hindu di kawasan perumahan mereka.

Menurut ahli Jawatankuasa Bertindak Taman Medan, Mohd Faizal Syed Ariff, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah pun bersetuju untuk tidak meluluskan projek itu pada tahun lalu walaupun mendapat bantahan daripada penduduk.

Bercakap kepada media di hadapan tapak pembinaan itu semalam, Faizal mempertikaikan MBPJ yang didakwa meluluskan projek berkenaan tanpa berbincang dengan penduduk setempat.

Menganggap ia sebagai di luar jangkaan, Mohd Faizal berkata, penduduk setempat bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat janji temu dengan setiausaha politik Menteri Besar Selangor pada 1 Nov ini untuk membincangkan perkara tersebut.

Ahli perniagaan berusia 44 tahun itu kemudian menjelaskan sebab bantahan penduduk.

"Ia bermula pada 28 April tahun lalu apabila kami menerima notis mengenai pembinaan kuil daripada MBPJ.

“Kami diberi tempoh tujuh hari untuk menyatakan bantahan. Hari terakhir untuk membantah ialah pada 4 Mei.

"Bagaimanapun kami terlepas tempoh bantahan tersebut kerana ia hanya beberapa hari sebelum sambutan hari raya dan kebanyakan penduduk dah pulang ke kampung," katanya.

Kemudian kata Mohd Faizal, penduduk di situ menghantar aduan bersama hujah mereka kepada MBPJ.

Mohd Faizal Syed Ariff

Selepas mengemukakan pelbagai hujah, dakwanya, pihak berkuasa tempatan terbabit bersetuju untuk tidak meluluskan pembinaan kuil tersebut.

"Tapi pada awal minggu ni, kami dapat surat menerusi mesej tular yang mendakwa projek ini dah diluluskan untuk pembinaan,” katanya lagi.

Turut hadir menyatakan bantahan ialah enam penduduk lain, pegawai komunikasi khas PPIM Gulab Jan Fazal Eladi, dan wakil NGO Kemanusiaan Rakyat Malaysia, Muhammad Faris Faisal Abdul Razak.

Kata Mohd Faizal penduduk tidak mempunyai masalah dengan pembinaan kuil itu, namun apa yang dipertikaikan ialah faktor lokasi ia mahu dinaikkan, selain aspek keselamatan orang ramai.

Akan ganggu trafik jalan

Dia mendakwa kuil yang akan dibina di laluan masuk utama ke Taman Medan itu akan menyusahkan penduduk.

"Sudah ada satu kuil yang dibina di seberang jalan ni, sudah ada di sini sejak lebih 20 tahun. mengapa perlu bina lagi satu kuil di jalan yang sama?

"Sebelum bina kuil baru ni pun dah sesak jam 1 hingga 2km setiap kali orang balik kerja.

“Dengan ada pembinaan baru, ada sesak lebih dan meningkatkan (risiko) kemalangan,” katanya.

Mohd Fadzil turut mempersoalkan keperluan projek tersebut ketika kawasan yang sama sudah memiliki "begitu banyak kuil" sedangkan penduduk bukan Islam di Taman Medan hanya kira-kira lima peratus daripada populasi di kawasan itu.

"Sebanyak 95 peratus penduduk Taman Medan beragama Islam dan kami ada dua masjid saja, manakala kaum lain lima peratus.

"Jadi kami kira, berapa banyak kuil yang perlu dibina di kawasan ini? Apabila kedua-dua kuil ada upacara masing-masing, jalan ni akan ditutup.

"Mana laluan kami? Jalan kaki dari kawasan perumahan Melayu ke kuil ni dua minit saja,” katanya.

Gulab Jan Fazal Eladi

Dia menjelaskan jalan tersebut memang satu-satunya laluan untuk ke Kampung Medan.

Di laluan lain yang melalui Puchong Sunway, katanya, sepanjang jarak 2km pun sudah ada lima kuil dibina.

"Kalau nak dirikan rumah ibadat, cari tempat yang selesa, yang tidak mengganggu laluan orang keluar masuk,” katanya.

Sementara itu, Gulab Jan berharap Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan menunjukkan keprihatinannya terhadap isu berkenaan.

“Ambil cakna, 95 peratus penduduk di sini orang Islam.

“MBPJ patut buat kajian dulu, bukan luluskan semberono begitu saja," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS