Syarikat NSK Trade City Sdn Bhd (NSK) semalam membuat permohonan maaf terbuka selepas salah satu pasar raya mereka didapati menjual barang didakwa daging katak.
Dalam kenyataan dikeluarkan itu, NSK berkata, mereka sedar isu berkenaan sangat serius.
Katanya tindakan juga sudah diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
"Kami memohon maaf atas insiden yang berlaku pada 24 Okt lalu.
"Kami faham tahap keseriusan isu ini dan tindakan telah diambil serta-merta. Amaran keras juga telah diberikan kepada pekerja yang terlibat," katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu tular di media sosial mengenai "daging katak" yang dijual bersama barang lain di pasar raya NSK di Selayang.
Ia dikatakan disedari kira-kira jam 10 pagi pada hari tersebut dan ketika itu pasar raya terbabit belum sesak dengan pelanggan.
Selepas ia dimaklumkan kepada pekerja pasar raya berkenaan, "daging katak" itu kemudian dialihkan dari meja jualan.
Difahamkan siasatan lanjut dibuat NSK mendapatai pengedar menghantar barang terbabit bersama tempahan lain dan diletak di bahagian jualan barang basah.
Pekerja yang menguruskan bahagian tersebut membuka dan mempamerkan daging berkenaan tanpa mengetahui ia adalah daging katak.
Menurut NSK pihaknya akan memastikan tidak ada lagi kejadian seumpama itu berulang.
"Kami memohon maaf akan memastikan sebaik-baiknya tidak berlaku lagi kesilapan tersebut," katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, NSK menjelaskan, pasar raya mereka tidak pernah menempah daging katak sebagai salah satu barang jualan.
"Kami tak order (pesan) daging itu dan tak pernah jual, termasuk untuk diletakkan di bahagian tidak halal," kata wakil syarikat itu.