Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
12 wakil rakyat PKR turut gesa kaji semula Minggu Solidariti Palestin
Diterbitkan:  Oct 28, 2023 1:56 PM
Dikemaskini: Oct 29, 2023 1:13 PM

Sekumpulan tiga Ahli Parlimen dan sembilan Adun PKR menggesa Kementerian Pendidikan mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kumpulan itu yang kesemuanya terdiri daripada etnik Cina berkata, program itu perlu dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kebencian dan keganasan.

"Kami difahamkan bahawa KPM bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai nilai manusiawi, hak asasi manusia dan keprihatinan terhadap penderitaan, namun adalah sukar bagi KPM untuk memantau program Solidariti Palestin itu mencapai matlamatnya tanpa menyebar rasa dendam dan keganasan.

"Pada masa yang sama, kami juga memohon KPM untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi garis panduan KPM serta memprovokasi keganasan dengan senjata mainan di sekolah,” kata kumpulan itu yang terdiri daripada Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

Kenyataan bersama itu turut menamakan ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng, Chua Wei Kiat (Rawang), Chan Chun Kuang (Semanbu), Wong Chai Yi (Simpang Pulai, Yew Boon Lye (Chuah), Goh Ghoon Aik (Bukit Tambun), David Cheong Kian Yong (Kajang), Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang).

Menurut wakil rakyat berkenaan, mereka menganggap tindakan membawa isu konflik antarabangsa ke sekolah adalah tidak wajar dan harus dikaji semula.

"Kerajaan dan rakyat kita perlu mengekalkan akal fikiran yang rasional sementara menyokong perjuangan Palestin dan jangan sesekali menbangkitkan isu kedendaman dan keganasan dalam institusi awam," tegasnya.

Malaysiakini menghubungi dua daripada wakil rakyat tersebut untuk bertanya mengapa hanya wakil rakyat Cina mengeluarkan kenyataan tersebut, namun tiada penjelasan diberikan.

Terdahulu, DAP membuat gesaan serupa agar program itu dikaji semula dan tindakan diambil terhadap mereka yang menyokong tindakan ganas, di samping menegaskan pendiriannya dalam solidariti terhadap rakyat Palestin atas prinsip kemanusiaan.

Gesaan itu dibuat selepas tersebarnya gambar pelajar sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menggesa pihak sekolah mengawal aktiviti yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada "minggu solidariti" untuk menyokong perjuangan Palestin.

Dia berkata kerajaan menggalakkan pihak sekolah menganjurkan minggu berkenaan tetapi tidak mewajibkan kepada mana-mana sekolah untuk berbuat demikian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semalam berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk "ekstremisme" sepanjang Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

"Justeru KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme, radikalisme dan keganasan, apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi yang tak dibenarkan sama sekali,"katanya dalam satu kenyataan semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS