Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemuda Amanah perlu akui kegagalan, beri ruang kepimpinan baru'
Diterbitkan:  Oct 27, 2023 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Kegagalan Pemuda Amanah menguasai naratif politik dalam kalangan pengundi muda perlu diakui kepimpinan sekarang, kata Timbalan Ketuanya, Razak Ridzuan.

Katanya, Pemuda Amanah sepatutnya menguasai naratif Melayu Islam dalam pengundi muda terutama blok pengundi baru serta pengundi atas pagar.

"Satu perubahan radikal perlu dibuat supaya pembaharuan dalam parti khususnya sayap pemuda dapat direalisasikan.

"Ini berdasarkan kepada kegagalan pemuda dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Pemuda Amanah untuk menguasai naratif politik dalam kalangan anak muda ketimbang Pemuda PN yang dapat dilihat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan pemuda Amanah perlu dibarisi muka baru dan calon berkualiti yang berada di luar lingkungan kepimpinan sedia ada.

"Pemuda Amanah sepatutnya berperanan besar dalam menarik pengundi muda Melayu, (tapi) rekodnya tidak memberangsangkan.

"Langkah penting harus diambil adalah menampilkan muka-muka baru bagi menerajui kepimpinan dengan melihat secara menyeluruh calon-calon berkualiti yang mungkin berada di luar daripada fokus kepimpinan Pemuda Amanah Nasional sedia ada.

"Perlu pasukan yang lebih berwawasan, mantap dan proaktif bagi memastikan undi muda Melayu tidak terus hilang dari penguasaan Amanah dan Pakatan Harapan," katanya.

Jelasnya lagi, disebabkan faktor kegagalan ini, dia secara terbuka mengumumkan tidak akan bersaing untuk jawatan dalam Pemuda Amanah.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut dan tidak akan bersaing untuk dipilih termasuk ke jawatan Ketua Pemuda Amanah.

"Justeru, saya menggesa pemuda Amanah di semua peringkat melakukan reformasi dalam parti bagi menampilkan wajah (pemimpin) yang lebih segar dan pasukan yang lebih meyakinkan," katanya lagi.

Razak merupakan timbalan ketua Pemuda Amanah dan juga bekas calon PH bagi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU ke-15.

Pada 26 Oktober lalu, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda telah menyatakan minat untuk dipilih sekali lagi ke jawatan sama menjelang pemilihan di Konvensyen Sayap Pemuda Amanah Nasional yang akan berlangsung November ini.

Amanah Temerloh sokong Mat Sabu

Dalam perkembangan lain, Amanah kawasan Temerloh menyatakan sokongan mereka kepada Presiden Mohamad Sabu.

Ketua kawasannya, Azizul Shah Mohd Noor berkata Mohamad telah menjalankan tugas yang baik dalam mengemudi hala tuju parti selain hubungan baik dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kesungguhan dan kesetiaannya bersama Anwar terbukti sejak zaman reformasi lagi,” katanya.

Menurutnya, ketika PH berdepan dengan isu pengkhianat dalam Langkah Sheraton, Mohamad bekerja keras mengekalkan perpaduan dalam gabungan itu.

Tambahnya lagi, walaupun lantang melawan Umno, tetapi Mohamad tetap akur dengan titah Yang Dipertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama BN.

"Dia sentiasa bekerja keras membantu perdana menteri mengukuhkan kerajaan dan parti (gabungan), hubungan Amanah bersama Umno semakin akrab termasuk bersama parti-parti lain dalam kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizul yakin ahli Amanah dan perwakilan akan membuat penilaian dengan bijaksana pada pemilihan Disember nanti.

"Pemilihan dan pertandingan dalam parti adalah proses matang dan demokrasi, namun, biarlah Mat Sabu (Mohamad) kekal menghabiskan penggal terakhirnya sebagai Presiden.

"Peranannya masih diperlukan sebelum peralihan kepada pimpinan baru parti yang pasti akan berlaku bila tiba masanya.

"Ibarat kata pepatah, seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak,”
katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS