Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis guna kamera badan sepenuhnya pada 2025 - Saifuddin
Diterbitkan:  Oct 27, 2023 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Kamera badan polis dijangka digunakan sepenuhnya mulai 2025, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Saifuddin berkata demikian berdasarkan garis masa kerajaan mendapatkan dan menguji peralatan itu, serta memberi latihan kepada anggota polis tentang cara menggunakannya.

Menurut menteri itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta pada 2021 untuk polis mendapatkan kamera badan, yang akan digunakan oleh pegawai dalam tugas harian mereka.

"Pada masa ini, proses perolehan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Lembaga Perolehan KDN dijangka bersidang dalam bulan November 2023 dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada bulan Disember 2023.

"Jangkaan BWC (kamera badan) akan digunakan sepenuhnya oleh PDRM adalah pada suku pertama tahun 2025 dengan mengambil kira keseluruhan proses pembekalan seperti pengujian, lawatan tapak, latihan dan pentauliahan yang akan berlangsung dari Januari 2024 hingga Disember 2024," katanya.

Jawapan Saifuddin itu sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (Pakatan Harapan-Kepong), yang ingin tahu mengapa polis masih belum menggunakan kamera badan dalam menjalankan tugas harian.

Sementara itu, kepada soalan lain daripada Lim, menteri itu berkata penyelidikan sedang dijalankan oleh pasukan berkenaan bagaimana mereka boleh menambah baik pakaian polis dengan mengambil kira cuaca Malaysia.

Pada 2021, perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pegawai penguat kuasa akan dilengkapi dengan kamera badan, melindungi polis daripada fitnah oleh penjenayah atau orang yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan, katanya, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk tujuan ini.

Disember lalu, Saifuddin dilaporkan berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi perolehan kamera badan dan proses perolehan sedang berjalan.

Dilaporkan dia telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk membuat susulan berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS