Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buang status agama anak: Wanita fail rayuan di Mahkamah Rayuan

Seorang wanita memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi membuang status Islam dalam MyKad anak lelakinya yang berusia 18 tahun.

Peguam mereka, Clarice Chan mengesahkan dengan Malaysiakini yang rayuan itu difailkan pagi ini.

Chan berkata wanita itu kini dalam tekanan sementara anaknya baru memulakan pengajian di kolej.

Dua hari sebelum hari jadi remaja itu iaitu pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan ibunya yang mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa melambatkan penukaran status agama anaknya pada MyKad.

Sebelum itu, remaja itu dalam afidavitnya menyokong tindakan undang-undang yang diambil ibunya - yang beragam Buddha - dengan berkata bapa yang beragama Islam tidak menghalang dirinya menganut agama Buddha.

Ketika itu, hakim Zaleha Rose Pandin memutuskan hanya mahkamah syariah yang ada kuasa untuk mendengar kes itu kerana remaja itu dilahirkan sebagai seorang Islam.

Zaleha berkata permohonan untuk mengubah status agama di MyKad bersamaan dengan meninggalkan Islam.

Tanpa mengambil kira remaja itu tidak pernah mengamalkan atau dibesarkan sebagai seorang Islam, hakim berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat pengisytiharan secara sepihak kerana ada proses yang perlu dilalui.

Katanya lagi, berbeza dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2021 yang membenarkan Rosliza Ibrahim diisytihar sebagai bukan Islam kerana tiada bukti perkahwinan mengikut agama Islam ada dilakukan, kes kal ini ada bukti menunjukkan perkahwinan dan perceraian mengikut Islam.

Maka, katanya, wanita itu terikat dengan prosedur berdasarkan agama itu.

'Saya seorang penganut Buddha'

Dalam afidavit yang difailkan pada Ogos lalu, remaja kelahiran Sabah itu berkata dia lahir pada 18 Oktober 2005 dan tahu bahawa ibu bapanya sudah bercerai.

"Saya seorang penganut agama Buddha. Ketika bersekolah, saya tak masuk ke kelas agama Islam. Saya tidak mengamalkan Islam sepanjang hidup saya," katanya, sambil menambah kawan-kawannya memanggilnya menggunakan nama Cinanya.

"Saya tidak pernah menganut atau mengamalkan mana-mana agama lain dalam hidup saya. Bapa saya tak halang saya menganut agama Buddha. Saya ingin diidentifikasi sebagai bukan Uslam," katanya.

Pada awal bulan itu, ibunya memfailkan saman dan menamakan pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat; Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sarawak; pengarah Bahagian Kad Pengenalan; ketua pengarah JPN, JPN dan kerajaan persekutuan sebagai responden pertama hingga keenam.

Dia memohon pengisytiharan mahkamah yang dia ada hak untuk menentukan agama dan asuhan anaknya, yang memiliki nama Islam di MyKad.

Dia memohon perintah mahkamah agar responden pertama, kedua dan ketiga merekodkan perubahan berkenaan status agama di MyKad anaknya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS