Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO kecam gambar murid bersama senjata mainan di sekolah
Diterbitkan:  Oct 27, 2023 2:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

NGO Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Menyifatkannya sebagai "mengejutkan dan menakutkan", presidennya S Shashi Kumar menggesa kerajaan agar menghentikan segera program itu.

Dia juga mengongsikan beberapa tangkap layar hantaran media sosial yang dibuat seorang guru perempuan, yang didakwanya berkhidmat di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan skarf dan kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

"Inilah yang kami (NGO) bimbangkan. Ini salah, dan kami bantah keras. Guru tidak dilatih (untuk mengendalikan program seumpama itu).

"Program sepatutnya berkenaan solidariti berdasarkan kemanusiaan kerana perang berlaku di mana-mana, dan bukan begitu berpusat kepada Palestin," katanya menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.

S Shashi Kumar

Dia juga menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada isu yang memberi kesan kepada negara - seperti kemerosotan nilai ringgit dan peningkatan kos sara hidup.

"Jangan salah faham saya, tak salah bantu orang Palestin tetapi ada perkara yang lebih baik yang perlu dilakukan kerajaan pada masa ini.

"(Selain itu) apa yang kita cuba ajar kepada kanak-kanak (dengan program seumpama itu)? Jadikan mereka ekstremis?" soalnya.

Dia berkata rakyat semakin bosan dengan kerajaan yang "tidak kisah" terhadap isu-isu penting dan kegagalan mendengar kritikan akan menjadikannya sebagai "kerajaan gagal".

Terdahulu minggu ini, sejumlah NGO membantah arahan agar sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November, dan menggesa kerajaan agar institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.

Beberapa wakil rakyat juga menyuarakan bantahan serupa, antaranya dengan berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran.

Semalam, Kementerian Pendidikan mempertahankan pelaksanaan program itu dengan berkata ia untuk menyemai nilai-nilai kemanusian dan sifat empati "tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial".

Hari ini, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen mengesahkan sekolah di negeri itu tidak diwajibkan untuk menjalankan program solidariti tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS