Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Melaka menolak petisyen BN untuk membatalkan kemenangan PN di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Abu Bakar Katar hari ini menolak petisyen yang difailkan calon BN di kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangan Mas Ermieyati Samsudin.

Ketika dihubungi, peguam Mas Ermieyati, Mohd Faizi Che Abu mengesahkan keputusan itu yang dibuat dalam prosiding hari ini.

Faizi berkata mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi bagi menyokong dakwaan pempetisyen bahawa berlaku amalan rasuah ketika kempen pada PRU lalu.

Katanya lagi, mahkamah mengarahkan pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada Mas Ermieyati.

Sementara itu, peguam Hakim, Amin Othman mengesahkan keputusan mahkamah hari ini.

Pada 25 September lalu, pempetisyen dilaporkan gagal memanggil saksi utama ke perbicaraan.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak petisyen BN selepas membenarkan bantahan awal yang difailkan PN.

Namun, selepas rayuan, Mahkamah Persekutuan mengarahkan petisyen itu menjalani perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.

[Berita lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS