Dua wakil rakyat Sarawak menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan awam mengadakan "minggu solidariti" bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin.
Adun Ba'Kelalan Baru Bian (gambar utama, kiri) berkata walaupun dia bersimpati dengan mangsa konflik Palestin-Israel yang sedang berlaku, arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menyebabkan pelajar perlu berpihak dalam isu geopolitik yang rumit.
"Penting untuk kita berempati dengan penderitaan mereka dan membawa mesej keamanan.
"Namun, mengambil sikap berpihak dalam konflik ini dan melibatkan anak-anak kita dalam isu politik yang rumit tidak kondusif terhadap pendidikan dan kesejahteraan mereka.
"Sekolah sepatutnya kekal sebagai ruang neutral untuk pembelajaran, perkembangan dan pemahaman," kata Baru dalam kenyataan hari ini.
Baru yang juga setiausaha agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata, sikap neutral itu penting kerana parti politik di Malaysia sering menggunakan isu kaum dan agama untuk meraih sokongan.
"Lebih-lebih lagi, kita perlu mengambil kira duluan yang akan ditetapkan dengan langkah ini. Jika kita libatkan sekolah dalam satu konflik antarabangsa, apa yang dapat menghalang kita daripada melakukan perkara sama dalam perang lain, seperti konflik Ukraine dan apa-apa krisis pada masa akan datang?
"Penting untuk mengekalkan integriti institusi pendidikan kita dan biarkan ia bebas daripada perangkap pertikaian politik global," katanya lagi.
Justeru, dia menggesa kerajaan menimbang semula keputusan tersebut agar sekolah kekal neutral dan kanak-kanak dipupuk untuk menjadi "warga dunia yang bertanggungjawab, berbelas ihsan dan berpengetahuan".
Semalam, Malaysiakini melaporkan Kementerian Pendidikan, menerusi pekeliling yang dikeluarkan pejabat Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan) Azman Ahmad mengarahkan semua sekolah mengadakan minggu solidariti diadakan pada 29 Oktober hingga 3 November, dengan cadangan enam kegiatan.
Pekeliling itu mengundang bantahan sejumlah NGO yang menggesa kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, pertikaian agama dan perang
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin (gambar utama, kanan) ketika perbahasan di Dewan Rakyat mempersoalkan keperluan ia diadakan, memandangkan fokus utama sekolah adalah pendidikan pelajar.
"Secara peribadi, saya rasa tiada masalah untuk kita bersolidariti menentang keganasan dan jenayah perang.
"Tetapi apa perlunya kita bawa perkara ini ke sekolah dan libatkan anak-anak yang harus fokus kepada masa depan mereka?"
"Saya juga tidak sokong Israel mahupun Hamas menggunakan kekerasan, sebab saya nobatkan keamanan sejagat. Saya percaya seluruh ahli parlimen dalam dewan ini mahukan keamanan," katanya ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham.
Willie berkata keputusan Kementerian Pendidikan bukanlah satu bentuk tata kelola yang baik.
"Ya, kerajaan kita 'walk the talk'. Mereka terlalu banyak bercakap, berjalan ke sini dan ke sana, tetapi tiada apa yang berlaku.
"Kita terus melangkah ke belakang. Ini bukan caranya," katanya lagi.
Mengulas celahan itu, Ngeh bersetuju dengan Willie dan berkata orang dewasa sendiri sukar memahami perkembangan yang berlaku di Gaza.
"Jika kita selaku orang dewasa merasakan situasi ini sukar diselesaikan, bagi saya kita tidak perlu bawanya ke sekolah di mana murid-murid tidak faham isu ini.
"Saya takut kalau ada mana-mana pihak menanam benih kebencian di sanubari anak-anak kita," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu berkata isu Palestin tidak seharusnya dilihat menerusi lensa agama, tetapi sebagai isu kemanusiaan dan perjuangan orang Palestin untuk mendapat kemerdekaan.
"Lebih baik anak-anak ini diberikan pendedahan dan maklumat tepat tentang apa sebenarnya isu Palestin," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Ketua Wanita Amanah itu juga yakin Kementerian Pendidikan akan memastikan pelajar di sekolah tidak akan didedahkan dengan unsur keganasan melampau dalam kegiatan sempena minggu tersebut.