Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Beberapa ahli parlimen PAS menyatakan rasa curiga terhadap dakwaan Anwar Ibrahim yang dia sedang "ditekan" pihak tertentu ekoran kelantangannya menyatakan sokongan buat Palestin.

Misalnya Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mendesak Menteri Luar Zambry Abdul Kadir agar mendedahkan negara yang memberikan tekanan kepada perdana menteri.

"Kita tak sanggup melihat perdana menteri kita tekan dan diugut seperti ini, justeru, kita harus menghantar nota bantahan kepada kedutaan negara terbabit di sini," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika bertanyakan soalan tambahan.

Zambry bagaimanapun berkata, walaupun menghargai semangat ditunjukkan Ahmad Fadhli, kerajaan berpendapat adalah lebih baik untuk tidak mendedahkan pihak yang menekan Anwar.

"Saya fikir lebih elok kita tak menamakan siapa mereka itu di sini (Dewan Rakyat) tetapi seperti yang disebut perdana menteri berulang kali, kita tidak gentar dengan sebarang ugutan yang dilakukan," katanya.

Ahmad Fadhli Shaari

Terdahulu Setiausaha Agung PAS Takyuddin Hassan mempersoalkan kesahihan dakwaan Anwar dan menganggap ia dibuat semata-mata untuk menonjolkan "kebesaran" dan "kepentingan" perdana menteri bagi mendapatkan sokongan orang ramai.

“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan ‘kehebatan’ seseorang pemimpin.

“Selain itu, ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana perdana menteri membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian,” tambahnya.

Takiyuddin berkata pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan mengkritik Israel, serta hubungan rasmi negara dengan kerajaan Palestin dan Hamas bukanlah sesuatu yang baru.

Pembangkang akan sokong

Tambahnya, perdana menteri sebelum ini juga bersuara dalam menyokong Palestin namun tidak pernah diugut atas ketegasan mereka dalam isu tersebut.

“Jadi kenapa pula Anwar tiba-tiba diancam dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?

“Sekiranya ancaman yang dimaksudkan itu benar-benar wujud, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh perdana menteri ialah memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan,” katanya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Anwar membuat dakwaan tersebut semasa berucap di perhimpunan menyokong Palestin di Bukit Jalil pada Selasa lalu. Ia turut dihadiri lebih 10,000 orang peserta.

"Saya telah menerima banyak kritikan, ancaman... Saya katakan kamu telah memilih pihak yang salah.

"Malaysia adalah negara yang bebas dan berdaulat. Malaysia akan terus menjadi sebuah negara berdaulat yang menegakkan kebebasan dan hak kebebasan rakyat Palestin," kata Anwar.

Sementara itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman, turut menyeru agar kerajaan memberi penjelasan lanjut mengenai pihak yang didakwa mengancam Anwar, serta ciri-ciri tekanan tersebut.

"Ini perkara serius... dalam hubungan antarabangsa, ugutan terhadap perdana menteri sama dengan ugutan terhadap Malaysia," katanya semasa mengadakan sidang media di parlimen, hari ini.

Dia juga berkata selain pihak kerajaan, ahli parlimen pembangkang juga akan menyokong perdana menteri dalam situasi sebegitu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS