Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan penghakiman terus terhadap Rosmah didengar 28 Nov

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 November untuk mendengar permohonan Global Royalty Trading SAL bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman sebanyak RM67.46 juta yang difailkan syarikat barangan kemas Lubnan terhadap Rosmah Mansor.

Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran tersebut semasa pengurusan kes bagi saman sivil itu hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Global Royalty, Venothani Raja Gopal, mengesahkan tarikh pendengaran bagi permohonan penghakiman terus terhadap Rosmah tanpa melalui perbicaraan penuh.

Peguam tersebut berkata mahkamah memerintahkan pihak-pihak terlibat mengemukakan hujah bertulis pada atau sebelum 7 November, dan hujah balas pada atau sebelum 14 November.

Dia menambah bahawa perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya melalui e-semakan di hadapan hakim Ong Chee Kwan pada 9 Nov.

Secara kebetulan, mahkamah juga sebelum ini menetapkan 28 Nov untuk mendengar permohonan Rosmah terhadap Global Royalty bagi memasukkan deposit AS$1 juta sebagai jaminan kos sekiranya firma Lubnan itu gagal dalam tuntutan mahkamah terhadapnya.

Perintah jaminan kos melindungi pihak - seperti defendan Rosmah - daripada risiko bahawa sekiranya mereka menang dalam perbicaraan dan diberikan kos, tetapi tidak dapat menguatkuasakan perintah kos terhadap pihak lain (yang kalah).

Pada April, Global Royalty memfailkan semula saman sivil RM67.46 juta terhadap Rosmah berhubung dakwaan bahawa barang kemas itu dihantar kepada defendan untuk tujuan pameran.

Firma tersebut pernah memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, saman itu kemudian ditarik semula.

Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, firma itu menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

Tindakan sivil sekarang hanya membabitkan 43 barangan kemas, kerana pihak berkuasa Malaysia telah memulangkan salah satu barang kemas berkenaan kepada Global Royalty Trading.

Pada pertengahan 2018 selepas pilihan raya umum ke-14, polis menyerbu kondominium Pavilion di Kuala Lumpur, tempat kediaman Najib dan Rosmah ketika itu dan merampas beberapa barang termasuk barangan kemas daripada firma Lubnan itu.

Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS