Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Anwar diancam dalam isu Palestin melucukan - PAS
Diterbitkan:  Oct 26, 2023 12:42 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

PAS mendapati kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa dia “diancam” berikutan kritikannya terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza sebagai pelik, malah melucukan. 

Menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Anwar menyatakan ancaman tersebut dalam bentuk “kenyataan-kenyataan” yang dibuat oleh ahli parlimen negara-negara Eropah. 

“Malangnya apabila didesak oleh media supaya menjelaskan dakwaan itu, dia enggan berbuat demikian, sebaliknya berkata kerajaan akan mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

“Pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar Ibrahim

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang disampaikan ketika berucap di majlis Himpunan Malaysia Bersama Palestin, di Stadium Axiata Bukit Jalil, malam semalam. 

Terdahulu Anwar berkata dia mula menerima tekanan dari Amerika Syarikat, Israel dan Eropah kerana lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

"Ini saya nak tekankan, saya terima banyak teguran, ugutan...saya sebut kamu salah pilih orang (untuk ditekan),” katanya.

Takiyuddin berkata bekas-bekas perdana menteri sama ada Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin mahupun Ismail Sabri Yaakob diketahui sangat lantang dalam isu ini, namun tiada pula mereka dilaporkan diancam.

Jelasnya, malah Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas bawah kepimpinan sebelum ini. 

“Jadi kenapa pula PM Anwar tiba-tiba diancam dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh ahli-ahli Parlimen?

“Sekiranya ancaman yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh perdana menteri ialah dengan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia terhadapnya, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan,” ujarnya.

Justeru, Takiyuddin menegaskan bahawa PAS percaya kenyataan “alarmist” sebegitu bertujuan untuk menonjolkan “kehebatan” dan “kepentingan” perdana menteri.

“Lebih malang lagi, dakwaan itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan ‘kehebatan’ seseorang pemimpin. 

“Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana perdana menteri membuat dakwaan rambang dan khayalan sedemikian,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS