Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee: Kekalkan atau tarik balik 3 pertuduhan terhadap Najib

Pasukan pembelaan Najib Razak berhujah bahawa pihak pendakwaan boleh mengekalkan atau menarik balik tiga pertuduhan jenayah 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu.

Di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan mengapa pendakwa raya memilih untuk memohon meminda tiga pertuduhan minggu ini - satu untuk salah guna kuasa dan dua untuk pengubahan wang haram.

Ketika mempersoalkan mengapa pendakwa raya hanya memilih untuk meminda ketiga-tiga pertuduhan itu daripada keseluruhan 25 pertuduhan jenayah yang sudah dibicarakan selama lima tahun, peguam itu mendakwa ia bersifat prejudis terhadap anak guam mereka.

Shafee memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa ini kerana strategi undang-undang pasukan pembelaan sejak 2018 untuk menangani saksi pendakwaan, adalah berdasarkan butiran yang tidak dipinda dalam tiga pertuduhan itu.

Dalam perbicaraan rasuah 1MDB berjumlah RM2.27 bilion yang sedang dijalankan terhadap Najib, pendakwa raya berusaha untuk mengurangkan jumlah salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa daripada RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Pihak pendakwaan juga menuntut pengurangan berhubung dua daripada 21 jumlah pertuduhan pengubahan wang haram: RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 bagi satu pertuduhan pengubahan wang haram, dan RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34 bagi pertuduhan lain.

“Keadilan bukan sahaja datang dari mahkamah. Keadilan juga mesti datang daripada pihak pendakwa yang merangka pertuduhan demi kepentingan keadilan dan dengan itu mesti mengemukakan pertuduhan yang betul selepas siasatan menyeluruh.

"Pendakwaan mesti dijalankan dengan adil dan tidak menimbulkan ketidakadilan terhadap tertuduh," katanya.

“Permohonan itu, disebabkan peringkat lewat dan representasi dibuat selepas lima tahun (tempoh perbicaraan sejak Najib mula didakwa pada akhir 2018), adalah tidak adil... (adalah tidak adil) untuk pihak pendakwaan dibenarkan meminda dan menukar tiang gol, yang akan menjadi penindasan terhadap tertuduh.

“Pihak pendakwaan boleh sama ada mengekalkan (tiga) pertuduhan semasa atau menarik balik tiga pertuduhan,” kata Shafee.

Peguam itu menambah, berikutan pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran pimpinan Najib, tertuduh menurutnya dibawa ke mahkamah tergesa-gesa untuk menghadapi pertuduhan pada 20 Sept tahun yang sama.

Shafee mendakwa sikap tergesa-gesa membawa Najib ke mahkamah jenayah membawa kepada keadaan sekarang di mana jumlah yang salah dinyatakan dalam tiga pertuduhan.

Pasukan pembelaan Najib ditetapkan untuk meneruskan penghujahan lisan esok terhadap permohonan pindaan pihak pendakwaan.

Dilaporkan bahawa pihak pendakwaan memohon pindaan itu berikutan keterangan dua saksi pendakwaan baru-baru ini, iaitu penganalisis jejak wang Bank Negara Malaysia Adam Ariff Mohd Roslan dan pegawai penyiasat pengubahan wang haram SPRM Foo Wei Min, yang memberi penjelasan mengenai aspek tertentu kes itu. .

Najib, yang juga bekas menteri kewangan, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS