Dalam kehangatan konflik di Timur Tengah, beberapa personaliti media sosial berkongsi semula gambar di Istragram Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagi menggambarkan seolah-olah Anwar Ibrahim mempunyai hubungan dengan rejim itu.
Antara mereka ialah aktivis Bersatu Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard yang memuat naik rakaman skrin Instagram Netanyahu yang memaparkan isteri Anwar, Wan Azizah Ismail, dalam foto berkumpulan.
Bagaimanapun, gambar itu tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan pendirian Malaysia terhadap Israel.
Ia sebenarnya diambil dalam acara dianjurkan oleh wanita pertama Amerika Syarikat Jill Biden untuk meraikan isteri pemimpin-pemimpin dunia dalam acara sampingan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga).
Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam hantaran Netanyahu menggunakan bahasa Hebrew, yang berterima kasih kepada isterinya Sarah kerana mewakili Israel dalam acara itu.
“Dalam acara istimewa ini, isteri merdana menteri Netanyahu bertemu dengan isteri-isteri ramai pemimpin, antara mereka isteri Presiden Turki Amina Erdogan,” menurut kapsyennya.
Dalam gambar itu, Azizah berdiri di sebelah Amina.
Azizah turut berkongsi gamvar sama di Facebooknya bulan lalu.
Chegubard di TikTok membangkitkan perkara itu dengan dan menyoal pengikutnya:
"Korang tengok jap siapa tu. Aku ini rabun tak nampaklah,” katanya,
Video itu ditonton puluhan ribu orang sebelum ia dipadam.
Sementara itu, seorang lagi personaliti media sosial Ratu Naga, juga cuba menimbulkan keraguan dengan menggunakan rakaman layar yang sama di X.
"Mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) kot," sindirnya dalam hantaran yang dikongsi lebih tiga juta kali.
Dia tetap enggan menurunkan hantaran itu selepas ditegur dan diberikan konteks sebenar oleh pengguna lain dan berkata sedia disaman oleh Azizah.
Komen video itu oleh YB Viral, yang berkempen bagi pihak Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya sebelum ini, disukai sebanyak 11,200 kali.
Semalam, PKR Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap status sosial media tersebut atas alasan berbaur fitnah.
Malaysiakini terlibat dalam gabungan semakan fakta JomCheck.
Melalui JomCheck, orang ramai boleh memohon semakan fakta dengan menghantar mesej melalui WhatsApp (mesej saja) di nombor telefon atau di pautan ini.