Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui dia mula menerima tekanan dari negara barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah kerana lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Anwar berkata dia sama sekali tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan bagi memperjuangkan kebebasan buat Palestin daripada penindasan serta pembunuhan oleh rejim Zionis.
“Saya mula diserang beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat termasuklah Israel, saya tak terima ugutan itu.
"Ini saya nak tekankan, saya terima banyak teguran, ugutan...saya sebut kamu salah pilih orang.
"Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia akan kekal negara berdaulat yang kekalkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin
"Hidup Palestin...Palestin Merdeka...Allahuakbar," laung Anwar ketika berucap pada majlis Himpunan Malaysia Bersama Palestin, di Stadium Axiata Bukit Jalil, malam ini.
Puluhan ribu hadir pada himpunan yang mengumpulkan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik dan pemimpin pelbagai agama.
Anwar berkata, di bawah kepimpinannya Malaysia tidak lagi menghantar mesej dari jauh buat Palestin.
Sebaliknya, dia menjelajah ke negara-negara Islam bagi bertemu kepimpinan dunia Islam untuk menyatakan sokongan bagi menghentikan serangan rejim Zionis terhadap Palestin.
Kata Anwar, dia telah menyampaikan mesej Malaysia ketika bertemu Putera Mahkota, merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Konflik Israel dan Palestin semakin meruncing ketika beberapa negara Arab berusaha untuk menormalkan hubungan dengan Israel.
Dalam pada itu, Anwar berkata perkara ini berpunca daripada sikap ego dan sombong Israel yang meraih sokongan kuat Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).
“Masa depan mereka (penduduk Palestin) sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza.
"Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini, kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.
“Kita yakin dengan pertolongan Allah, namun apa yang penting kita perlu terus beri semangat dan apa jua sokongan untuk kebebasan rakyat Palestin,” katanya.