Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful dituduh lagi di mahkamah esok
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 4:54 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan memaklumkan bahawa dia akan dikenakan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Menurutnya, dia diminta hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.30 pagi, esok.

"Dikatakan bahawa ada pertuduhan-pertuduhan baru yang akan dikenakan di bawah Amla. Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini.

"Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Bekas ketua penerangan Bersatu itu mempunyai kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan dua pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Jana Wibawa atau “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program perangsang untuk kontraktor bumiputera susulan Covid-19.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicarakan atas dua pertuduhan itu - pertama kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai 2022 dan 30 Sept 2022.

Wan Saiful dituduh meminta rasuah daripada individu bernama Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" daripada kerajaan persekutuan.

Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS