Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengerusi PSM, tiga lagi ditahan dalam pengusiran petani di Tambun
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 2:53 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Polis hari ini menahan empat individu, termasuk pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar, kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun, di Perak.

Tiga yang lain adalah ahli jawatankuasa PSM R Karthiges, anggota Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien, kata timbalan pengerusi parti itu S Arutchelvan.

"Keempat-empat (individu) itu cuba menghalang pengusiran dan telah ditangkap. Mereka kini dalam trak polis dan belum dibawa ke mana-mana (lagi).

"Pihak berkuasa telah mula memusnahkan ladang," kata Arutchelvan kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan aktivis PSM Chong Yee Shan mengalami kecederaan di bahagian mulut dan hidungnya selepas mendakwa ditolak oleh anggota  Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak berhampiran sebuah ladang di Kanthan, Tambun.

Ini selepas petani dan aktivis berkenaan cuba menghalang mereka yang datang ke lokasi dengan jentolak dan jengkaut untuk mengusir enam petani.

Chong Yee Shan

Susulan kejadian itu, PSM menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi menyelamatkan petani yang berdepan pengusiran paksa di kawasan parlimennya.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata bahawa seorang pegawai dari pejabat Anwar di Tambun yang berada di tapak itu cuba untuk mendapatkan lebih banyak masa dan menangguhkan pengusiran tersebut, tetapi tidak berjaya.

Kira-kira 200 petani dan pekebun terlibat dalam sektor berkenaan di Kanthan, yang dianggap sebagai satu-satunya kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang terbesar di negeri ini.

Keenam-enam petani yang berdepan dengan pengusiran hari ini menerima notis mereka bertarikh 13 Oktober, yang memaklumkan bahawa ladang mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan diarah mengosongkan tapak itu dalam tempoh seminggu.

Para petani bersetuju untuk mematuhi arahan itu tetapi memohon jasa kerajaan negeri agar menawarkan tanah alternatif memandangkan mereka telah lama bekerja di ladang.

Pada kempen pilihan raya umum lalu, petani berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berharap pengerusi Pakatan Harapan itu mampu menamatkan "mimpi ngeri" mereka.

Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS