Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan guna dana jaminan khas pulih projek sakit
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 1:41 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

PARLIMEN l Cadangan berkaitan penggunaan dana jaminan khas bagi memulihkan projek terbengkalai yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara cadangan itu adalah menggunakan dana berkenaan bagi projek perumahan mampu milik bawah RM300,000 dan bagi projek yang sudah melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus status kemajuan.

“Selain itu kita juga melihat kepada program perumahan di bawah agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri khususnya projek perumahan mampu milik yang berdepan risiko menjadi projek sakit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung kaedah yang dilaksanakan kerajaan bagi menyelesaikan isu projek perumahan diklasifikasikan sebagai projek sakit atau terbengkalai.

Menjawab soalan asal Zahir berhubung Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) bagi projek perumahan, Akmal Nasrullah mendedahkan setakat ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membekukan 20 akaun HDA bagi projek dalam kategori sakit.

Beliau berkata tindakan pembekuan itu adalah berdasarkan siasatan yang menunjukkan pemaju mengabaikan tanggungjawab dan boleh menjejaskan kepentingan pembeli.

“Selain itu, pemaju juga boleh dikompaun sehingga maksimum RM50,000 sekiranya gagal melaksanakan kewajipan sebagaimana peruntukan di dalam Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 ) dan peraturan-peraturannya.

“Sebanyak 284 kompaun juga telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah seksyen 7 (e) Akta 118 pada tahun 2022 dan 2023.

Menurut Akmal Nasrullah, KPKT, menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN), sentiasa memastikan pemaju perumahan berlesen patuh terhadap peruntukan berkaitan HDA, antaranya  menjalankan audit pengurusan HDA, pemantauan Laporan Kemajuan Kewangan pemaju perumahan dan menyekat permohonan pengeluaran wang daripada HDA sekiranya tidak mematuhi Akta 118 dan peraturan.

Zahir ingin tahu bagaimana HDA dapat mengawal masalah projek perumahan sakit dan terbengkalai serta kepatuhan atau keingkaran penggunaan akaun HDA dalam kalangan pemaju.

Sementara itu menjawab soalan berasingan dibangkitkan Chiew Choon Man (GPS-Miri) mengenai jumlah projek sakit swasta yang berjaya diselamatkan tahun ini, Akmal Nasrullah berkata ia melibatkan sebanyak 256 projek perumahan.

Beliau berkata ia membabitkan kejayaan menyiapkan pemajuan sehingga mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan merubah status projek menjadi lancar, meliputi 28,363 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM23.37 bilion.

“Projek sakit yang berjaya dipulihkan sehingga menerima CCC adalah sebanyak 225 projek atau 19,945 unit rumah dengan GDV bernilai RM18.09 bilion, manakala pemajuan sakit yang bertukar status menjadi lancar melibatkan 31 projek (8,418 unit rumah) telah bertukar status menjadi lancar mengikut tempoh penyiapan yang ditetapkan dengan GDV bernilai RM5.28 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TSFT) mengesahkan sehingga 31 Ogos lepas, terdapat sebanyak 90 projek perumahan swasta lewat (9,376 unit rumah) dan 485 projek perumahan swasta dalam kategori sakit (78,626 unit rumah).

Menjawab soalan tambahan Chiew mengenai pemantauan projek sakit di Sabah dan Sarawak, beliau berkata projek perumahan swasta di kedua-dua negeri itu adalah di luar bidang kuasa KPKT dan tertakluk kepada Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978 Sabah dan Ordinan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 Sarawak. 

Bagaimanapun katanya kerajaan Sarawak berhasrat menjalankan integrasi sistem perumahan di Sarawak dengan KPKT menerusi Housing Integrated Management System (HIMS) iaitu sistem pengurusan sehenti, supaya penjejakan projek perumahan swasta antara Semenanjung dan Sarawak boleh dilaksanakan dengan sistematik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS