PAS meminta bekas syarikat pencetak akhbar lidah rasmi parti itu menunggu keputusan mahkamah berhubung isu tunggakan hutang.
Perkara itu disuarakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam respon ringkasnya kepada Malaysiakini.
“Kes ini dah jadi kes mahkamah, sepatutnya dia tunggu keputusan mahkamah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dia berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung rungutan Pengurus NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd, Hussin Jan, yang menyatakan rasa geram melihat PAS dan sikap kepimpinannya yang didakwa 'bermewah-mewah' namun gagal mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang Harakah.
Ia membabitkan hutang Harakah dengan dua syarikat iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd (Angkatan Edaran) dan NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd.
Angkatan Edaran bagaimanapun diisytihar muflis dan pihak pengurusan sama menubuhkan NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah pada ketika itu.
Bagaimanapun, hutang Harakah dengan Angkatan Edaran yang telah muflis lebih banyak hingga mencecah nilai jutaan ringgit berbanding hutang dengan NAJ Press Resources hanya lebih RM600,000.
Sementara itu Hussin berkata PAS dan Harakah enggan membayar hutangnya dengan Angkatan Edaran atas alasan syarikat itu telah pun gulung tikar.
Menurutnya, syarikat tersebut menanggung beban hutang dengan pembekal kerana Harakah tidak mahu menjelaskan hutangnya.
"Dalam keadaan ekonomi yang sukar ini kita perlukan sumber kewangan segera sebagai modal pusingan untuk teruskan perniagaan.
"Pemimpin PAS kononnya mengaku mengikut al-Quran, hadis, ijma' ulama sebagai panduan, tetapi sebaliknya menggunakan hukum sekular dan ketepikan hukum Islam kerana enggan bayar hutang," bidasnya.
Sementara itu, peguam yang mewakili NAJ Resources, Putra Taulan Rasul ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengemukakan tuntutan terhadap PAS, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hsaan dan penerbit Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.