Pemimpin PN menyifatkan penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai kes melibatkan agama, kaum dan raja-raja (3R) sebagai 'berat sebelah'.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata ahli parlimen terkejut apabila Saifuddin tidak menyebut kes melibatkan pemimpin kerajaan.

"Kita juga hairan kenapa tidak disebut pemimpin-pemimpin daripada PH-BN?

"Ia juga menyentuh 3R, ahli parlimen Bagan (Lim Guan Eng) misalnya yang mendakwa kalau PN diberi peluang memerintah Pulau Pinang, kuil akan dirobohkan.

"Dia sebut dia nafi kenyataan itu, tetapi apa tindakan pihak berkuasa. Kenapa tidak disebut contoh tadi.

"Ini contoh double standards hanya salahkan ahli parlimen pembangkang tetapi melibatkan PH-BN tidak disebut," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Kes Lim kali terakhir dikemaskini pada 9 Julai lalu apabila Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman G Suresh Kumar berkata ahli parlimen Bagan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Pada 8 Julai lalu, pengerusi DAP itu menafikan dia pernah mendakwa PN akan merobohkan tokong sekiranya berjaya menawan Pulau Pinang.

Sebaliknya, Lim berkata ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputarbelitkan seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

Menjelaskan lanjut, Lim berkata ucapannya itu dibuat merujuk kepada kes sebuah tempat ibadat Hindu yang dirobohkan pada Julai 2020 di Kedah (gambar, atas).

Pada 9 Julai 2020, Malaysiakini melaporkan kenyataan bekas ahli Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS), R Kumaraguru Naidu yang menggesa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi penjelasan berhubung perobohohan tempat sembahyang Hindu berusia lebih 70 tahun di Jalan Stesen, Alor Setar.

Tindakan merobohkan tempat ibadat itu dilakukan pada jam 1 pagi hari yang sama.

Menurut Kumaraguru, tempat ibadat itu dirobohkan hanya selepas kerajaan PN mengambil alih kerajaan negeri dengan mendakwa ia menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Bagaimanapun Sanusi berkata perobohan tempat ibadat itu dibuat supaya tataletak setiap binaan berstruktur di semua tempat berada pada tempatnya secara sah dan terkawal.

Dalam perkembangan berkaitan, Afnan yang juga ketua Pemuda PAS yang baru dilantik turut memetik kes ahli PKR Iswardi Morni yang ditahan pada 29 Mei tahun lalu.

Ini selepas video YouTube Iswardi, mengkritik Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan ketika itu berhubung pengurusan pandemik Covid-19, tersebar di media sosial.

Iswardi digantung daripada PKR kerana mengkritik kepimpinan parti di media sosial tetapi keahliannya dikembalikan pada Januari tahun ini.

Ahli parlimen Alor Setar itu juga membangkitkan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu yang mendakwa PAS didominasi oleh pemimpin yang mempunyai pemikiran ‘takfiri’ (melabel orang Islam lain yang tidak sealiran dengan PAS sebagai kafir).

Terdahulu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa polis hanya menjalankan siasatan kes 3R apabila terdapat laporan dibuat mengenai isu yang dipercayai berunsur hasutan.

Menteri dalam negeri menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa bercakap mengenai isu 3R tidak dibenarkan.

Saifuddin kemudiannya memperincikan beberapa contoh kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin sebagai sebab Muhyiddin disiasat oleh polis berhubung isu 3R.

Saifuddin turut memetik contoh lain, termasuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN-Marang).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS