Selepas hampir empat tahun laporan Malaysiakini berhubung hutang mencetak lidah rasmi PAS iaitu Harakah, bekas syarikat pencetaknya sekali lagi membangkitkan kegagalan parti itu dalam melunaskan hutang yang tertunggak.
Pengurus N.A.J. Press Resources (M) Sdn Bhd, Hussin Jan, menyatakan rasa geram melihat PAS dan sikap kepimpinannya yang didakwa 'bermewah-mewah' namun gagal mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang Harakah.
"Mereka pakai kereta mewah, boleh buat Muktamar di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dengan bayaran sudah tentu mencecah puluhan ribu ringgit. Tetapi soal hutang mereka tak ambil berat untuk diselesaikan.
"Sudah hampir tujuh tahun hutang tertunggak tak dibayar sepenuhnya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Untuk rekod, sekitar Ogos 2019 Malaysiakini pernah melaporkan isu hutang membabitkan Harakah dan pencetak berkenaan.
Ia membabitkan hutang Harakah dengan dua syarikat iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd (Angkatan Edaran) dan N.A.J. Press Resources (M) Sdn Bhd.
Angkatan Edaran sudah muflis dan pihak pengurusan sama menubuhkan N.A.J. Press Resources (M) Sdn Bhd sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah pada ketika itu.
‘Syarikat dah bankrap, tak payah bayar’
Bagaimanapun, hutang Harakah dengan Angkatan Edaran yang telah muflis lebih banyak hingga mencecah nilai jutaan ringgit berbanding hutang dengan N.A.J. Resources hanya lebih RM600,000.
Hussin berkata PAS dan Harakah enggan membayar hutangnya dengan Angkatan Edaran atas alasan syarikat itu telah pun gulung tikar.
Menurutnya, syarikat tersebut menanggung beban hutang dengan pembekal kerana Harakah tidak mahu menjelaskan hutangnya.
"Dalam keadaan ekonomi yang sukar ini kita perlukan sumber kewangan segera sebagai modal pusingan untuk teruskan perniagaan.
"Pemimpin PAS kononnya mengaku mengikut al-Quran, hadis, ijma' ulama sebagai panduan, tetapi sebaliknya menggunakan hukum sekular dan ketepikan hukum Islam kerana enggan bayar hutang," bidasnya.
Sementara itu, peguam mewakili N.A.J. Resources, Putra Taulan Rasul ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengemukakan tuntutan terhadap PAS, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hsaan dan penerbit Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.
"Pihak kami juga sudah memfailkan permohonan penghakiman terus kepada mahkamah dalam usaha menyelesaikan tuntutan anak guam dan menunggu keputusan mahkamah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini sedang menghubungi pihak PAS dan Harakah bagi mendapatkan respon mereka.