Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cina berlindung di rumah presiden PAS pada 13 Mei - Tuan Ibrahim

PAS cuba meyakinkan golongan bukan Islam bahawa parti itu benar-benar mahu mendekati golongan terbabit.

Dalam usaha meraih sokongan bukan Islam itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenang kembali kisah sebuah keluarga Cina yang cuba berlindung di kediaman 'Presiden PAS' ketika itu sewaktu insiden rusuhan 13 Mei 1969.

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah insiden rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini telah meragut nyawa serta harta benda dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

“Saya baru ziarah masyarakat Tionghua di Kelantan, saya naik rumah orang Cina yang tua-tua, umur dalam 80,90 tahun, menangis-nangis (mereka) ceritakan pengalaman dia yang mana masyarakat hidup dengan penuh harmoni.

“Masing-masing tahu batas sempadan satu sama lain. Mereka boleh hidup dengan harmoni. 13 Mei ini tak berlaku di Kelantan, tak berlaku di Terengganu. 13 Mei hanya berlaku di Kuala Lumpur.

“Tidak berlaku di Kelantan walaupun masyarakat Cina minoriti, bahkan (jika) tuan, puan baca sejarah di Terengganu (ada) satu keluarga Cina bila berlaku 13 Mei ke mana (mereka) minta berlindung di rumah tuan guru presiden PAS.

"Minta berlindung di situ. Tak ada masalah,” katanya ketika berucap di ceramah Nega 3 presiden sempena Muktamar PAS ke 69 di IDCC, Shah Alam, malam tadi.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan kisah yang disebut Tuan Ibrahim ini.

Malaysiakini juga tidak dapat memastikan kisah itu berlaku di kediaman presiden PAS ketika itu Burhanuddin Helmy atau pun pemimpinnya sekarang Abdul Hadi Awang hari ini.

Malaysiakini sedang menghubungi pasukan media presiden dan timbalan presiden PAS bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata menjadi keutamaan PAS untuk memastikan nasib bukan Islam terbela.

“Ini jaminan perpaduan yang kita nak bawa. Sebab itu kalau kita lihat pentingnya kita bersama-sama dalam perjuangan ini dan tuan, puan kena warisi perjuangan ini pada keluarga kita, pada anak-anak kita supaya anak kita turut bersama.

"Dia ada saham dalam perjuangan ini,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah berpesan kepadanya dan kepimpinan jika orang Melayu sudah tidak pedulikan Islam tidak mustahil orang Cina yang beriman kepada Allah SWT lebih baik daripada kaum itu.

“Tidak mustahil Islam agamanya terbuka semua orang boleh menganut, semua orang boleh jadi mulia dengan takwa kepada Allah SWT.

“Sebab itu bangsa bukan pilihan, bangsa bukan ketentuan, bukan pilihan kita nak jadi Melayu, Cina dan India. Ketentuan Allah SWT menjadikan dia Melayu, Cina dan India.

“Sebab itu dalam Islam, Islam tak pernah letak bangsa sebagai lambang kemuliaan. Mulia bila dia bertakwa pada Allah SWT.

"Inilah yang kita perkukuhkan agenda ini dalam parti kita supaya kita mulia di dunia dan akhirat, dengan iman yang ada pada kita kalau iman,” katanya.

Terdahulu, dikhabarkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir sama pada ceramah mega malam tadi kerana perlu berehat bagi meneruskan sesi terakhir Muktamar PAS pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi PN dan juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin juga tidak dapat hadir kerana difahamkan mempunyai program lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS